MSN kaji semula peraturan had masa keluar masuk atlet

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 November – Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula peraturan had masa keluar masuk bagi atlet yang menetap di Kompleks Sukan Negara itu, termasuk kemungkinan untuk memendekkan tempoh masa sedia ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSN akan meneliti semula had masa keluar masuk atlet selepas menerima pandangan bekas atlet dan persatuan sukan.
  • Had masa ketika ini sehingga tengah malam, namun tempoh itu mungkin dipendekkan selepas penelitian menyeluruh.
  • Peraturan asas pergerakan keluar masuk tetap dikuatkuasakan, manakala sesi libat urus bersama atlet akan membincangkan perkara itu.

Ketua Pengarah MSN, Arrifin Mohd Ghani berkata, langkah semakan semula itu susulan pandangan yang dikemukakan oleh bekas atlet serta persatuan sukan berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau, peraturan sedia ada menetapkan had masa sehingga pukul 12 tengah malam dan penelitian menyeluruh akan dilakukan sebelum sebarang pindaan diputuskan.

“Peraturan sedia ada memang kita laksanakan dan semua atlet sedia maklum mengenai perkara itu. Cuma kita ambil maklum pandangan bekas atlet dan persatuan, jadi kita perlu kaji semula.

“Sekarang ini had masa sehingga pukul 12 tengah malam, mungkin kita akan pendekkan sedikit dan lihat secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut, Arrifin menjelaskan pengurusan asrama MSN masih memerlukan tahap fleksibiliti tertentu memandangkan penghuninya terdiri daripada atlet negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peraturan asas melibatkan pergerakan keluar masuk ke kawasan asrama dan premis MSN tetap dikuatkuasakan seperti biasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari turut dijadual mengadakan sesi libat urus (town hall) bersama-sama barisan atlet dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan secara lebih terperinci sebelum sebarang ketetapan baharu diputuskan.

“Dalam masa terdekat, menteri juga akan mengadakan sesi town hall bersama atlet dan kemungkinan perkara ini akan turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.