DKN 2026-2030 perlu dikaji dari semasa ke semasa – PM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 November – Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 perlu dikaji dari semasa ke semasa susulan cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar Ibrahim berkata DKN perlu sentiasa dikaji selaras perubahan landskap keselamatan dan kemunculan pelbagai bentuk ancaman.
  • Memperkukuh keselamatan negara memerlukan kepakaran tinggi serta sinergi kerajaan, sektor swasta, industri pertahanan dan negara rakan.
  • DKN 2026-2030 menggariskan hala tuju, keutamaan dan strategi keselamatan negara dengan mengambil kira ancaman tradisional dan bukan tradisional.
  • Dasar baharu itu menetapkan 10 Bidang Tumpuan Strategik, termasuk keselamatan siber dan teknologi, serta dipantau melalui mekanisme khusus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan landskap keselamatan dan kemunculan pelbagai bentuk ancaman menuntut negara sentiasa menilai kesesuaian dasar berkenaan.

“Dinamika cabaran itu terlalu sukar dan canggih. Kalau dulu kita boleh sediakan satu dasar untuk lima hingga ke 10 tahun, dan itu masih wajar dipertahankan untuk lima tahun, tetapi harus dikaji setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran DKN 2026-2030 di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, usaha memperkukuh keselamatan negara turut memerlukan kepakaran tinggi serta sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta dan industri pertahanan, selain kerjasama erat dengan negara rakan.

Dalam pada itu, DKN 2026-2030 merupakan dasar yang menggariskan hala tuju, keutamaan dan strategi keselamatan negara, sebagai kesinambungan kepada DKN 2021-2025 dengan mengambil kira perubahan landskap keselamatan global dan serantau serta ancaman tradisional dan bukan tradisional.

Menerusi dasar baharu itu, sembilan Nilai Teras Keselamatan Negara disusun semula kepada 10 bidang tumpuan strategik, merangkumi Kedaulatan dan Keutuhan Wilayah; Kestabilan Sosiopolitik; Kesepaduan Nasional; Tata Kelola yang Berkesan; Keutuhan Ekonomi; Keadilan Sosial; serta Pembangunan Mampan.

Tiga bidang selebihnya ialah Keselamatan Rakyat; Diplomasi Keselamatan serta Kerjasama Serantau dan Global; dan Keselamatan Siber dan Teknologi yang diperkenalkan sebagai bidang baharu.

Pelaksanaan dasar berkenaan akan dipantau menerusi beberapa mekanisme, antaranya Sidang Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Pelaksanaan DKN serta Indeks Keselamatan Kebangsaan.

Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, akan menyelaras pelaksanaan dasar itu dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan, sektor swasta serta masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.