
KUALA LUMPUR, 26 November – Kerajaan menyasarkan pengurangan pengambilan pekerja asing kepada 10 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang 2030.
- Siling pekerja asing akan dikurangkan secara berperingkat di bawah RMK13.
- KESUMA akan mengawal kelulusan pengambilan pekerja asing mengikut sektor yang dibenarkan.
- Automasi, teknologi moden dan insentif akan digalakkan bagi mengurangkan keperluan tenaga kerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pengurangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi unjuran siling tahunan yang ditetapkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kerajaan menetapkan sasaran pengurangan siling pekerja asing secara berperingkat, iaitu 13 peratus pada 2026, 12.5 peratus pada 2027, 12 peratus pada 2028, 11 peratus pada 2029 dan seterusnya 10 peratus menjelang 2030.
“Bagi memastikan sasaran tahunan itu tercapai, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengawal setiap kelulusan pengambilan pekerja asing mengikut sektor yang dibenarkan menggaji tenaga kerja asing,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengenai sasaran jangka panjang kerajaan mengurangkan kebergantungan sektor tertentu kepada pekerja asing.
Dalam usaha itu, kerajaan turut memperluas penggunaan automasi dan teknologi moden bagi mengurangkan keperluan tenaga kerja dalam sektor yang berintensifkan buruh.
Antara pendekatan termasuk penggunaan teknologi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI), sistem automasi kilang, mekanisasi sektor perladangan serta Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan.
Katanya, kerajaan juga menyediakan insentif seperti Elaun Cukai Pelaburan, Elaun Modal Automasi dan geran pendigitalan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menggalakkan majikan beralih kepada operasi berasaskan teknologi.