MITI nilai semula insentif CKD, utamakan kandungan tempatan sebenar

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 November – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menilai semula pendekatan pemberian insentif pemasangan tempatan (CKD) bagi memastikan kemudahan itu memberi keutamaan kepada aktiviti pembuatan komponen sebenar di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • MITI akan menilai semula insentif CKD supaya lebih mengutamakan pengeluaran komponen sebenar di Malaysia.
  • Pengiktirafan kandungan tempatan sedia ada masih boleh melibatkan komponen import, sementara pemantauan pelaksanaan didapati tidak berkesan.
  • Insentif lebih tinggi akan diberikan kepada syarikat yang benar-benar menghasilkan komponen, khususnya pada Tahap 1.
  • Pendekatan baharu diharap menarik pengeluar antarabangsa membawa teknologi dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penilaian itu akan menumpukan penghasilan komponen yang dilaksanakan di dalam negara, sekali gus dapat memperkukuh penyertaan vendor tempatan dalam rantaian bekalan industri automotif.

Menurut beliau, langkah itu wajar dilaksanakan susulan defisit perdagangan komponen automotif negara yang semakin meningkat kepada RM33.8 bilion pada 2025, berbanding kira-kira RM13 bilion pada 2020.

“Sebenarnya, sejak 40 tahun lalu, kita sudah mempunyai insentif bagi penyetempatan pengeluaran. Namun, struktur penyetempatan itu dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3.

“Tetapi, sepanjang tempoh itu, pelaksanaannya tidak dipantau. Selepas 30 hingga 40 tahun, dasar ini pada asasnya tidak memberikan hasil yang diharapkan.

“Sebab itu, kita tidak mempunyai ramai pengeluar tempatan yang benar-benar menghasilkan komponen sendiri kerana mereka mengambil jalan mudah dengan mengimport sebahagian komponen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pemasangan Tempatan BYD, di sini, hari ini.

Tambah beliau, sistem CKD sedia ada membahagikan pengeluaran kepada tiga peringkat, iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3, namun pengiktirafan kandungan tempatan masih boleh diperoleh menerusi gabungan komponen yang sebahagiannya diimport.

Sehubungan itu, kerajaan mahu memperkenalkan pendekatan insentif yang lebih bersasar dengan menawarkan ganjaran lebih tinggi kepada syarikat yang melaksanakan pengeluaran komponen sebenar di Malaysia.

“Kalau yang Tahap 3 tidak, Tahap 2 tidak, tetapi Tahap 1 benar-benar melakukannya, kita akan beri ganjaran kepada Tahap 1. Mereka mungkin mendapat lebih banyak insentif kerana usaha itu benar-benar berkesan,” katanya lagi.

Jelas beliau, pendekatan baharu itu dapat menarik lebih banyak pengeluar automotif antarabangsa membawa teknologi dan bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam penghasilan komponen, sekali gus meningkatkan penyertaan industri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.