
KUALA LUMPUR, 25 November – Pelaksanaan undang-undang Pembaharuan Semula Bandar perlu memastikan hak dan kepentingan penduduk asal terus terlindungi, khususnya dalam aspek penempatan semula.
- Penduduk asal perlu dijamin kediaman lebih selesa dan hak untuk terus menetap di kawasan berkenaan.
- Penghuni perlu diberi ruang menyuarakan pandangan dan menentukan tahap persetujuan terhadap projek pembangunan semula.
- Hak penduduk yang tidak bersetuju mesti dipelihara menerusi jaminan sewajarnya.
- Kerajaan perlu tegas memastikan pemaju mematuhi semua syarat sebelum perjanjian dimeterai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penduduk asal perlu mendapat jaminan kediaman yang lebih selesa selepas pembangunan semula dilaksanakan, tanpa menjejaskan hak mereka untuk terus menetap di kawasan berkenaan.
“Jaminan yang jelas pertahankan hak penduduk asal. Insya-Allah kita lakukan dan saya tidak akan tolak ansur dengan itu,” katanya ketika menjadi tetamu program khas Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.
Datuk Seri Anwar berkata, penduduk juga perlu diberi ruang menyuarakan pandangan, termasuk dalam menentukan tahap persetujuan penghuni sebelum sesuatu projek pembangunan semula dilaksanakan.
Beliau berkata, hak mereka yang tidak bersetuju juga perlu dipelihara menerusi jaminan sewajarnya dalam pelaksanaan pembangunan berkenaan.
Mengulas mengenai kebimbangan undang-undang itu memberi kelebihan kepada pemaju, Perdana Menteri menegaskan kerajaan perlu bertindak tegas memastikan semua syarat pembangunan dipatuhi sebelum perjanjian dimeterai.
“Pendekatan dari pihak jabatan dan kerajaan juga harus tegas bukan sahaja terhadap penghuni, tapi terhadap pemaju,” katanya.
Menurutnya, pengalaman penduduk berdepan projek perumahan terbengkalai dan kegagalan pemaju menunaikan janji turut menyumbang kepada keraguan terhadap pelaksanaan pembangunan semula bandar.
Terdahulu, program wacana itu turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Bertemakan “Di Sebalik Keputusan”, program itu membuka ruang perbincangan secara lebih mendalam mengenai pertimbangan, cabaran dan rasional di sebalik keputusan penting yang dibuat kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Barisan panel pada program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan dan Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.
Turut serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas Izzhar Nazri, Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.