
KUALA LUMPUR, 25 November – Karya peninggalan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr A. Samad Said disifatkan sebagai khazanah kesusasteraan yang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda.
- Wan Azizah menyifatkan pemergian A. Samad Said sebagai kehilangan besar buat negara, namun sumbangannya dalam kesusasteraan akan terus dikenang.
- Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 10.55 pagi.
- Lebih 300 ahli keluarga, penggiat seni dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq.
- Diiktiraf sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985, beliau terkenal menerusi Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemergian tokoh berkenaan merupakan kehilangan besar kepada negara, namun sumbangannya dalam dunia kesusasteraan akan terus dikenang.
“Itu yang saya rasa kehilanganlah buat negara, namun ada legasinya yang ditinggalkan dalam erti kata karya-karyanya yang akan diwarisi oleh anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 10.55 pagi.
Terdahulu, lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, penggiat seni dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 6.10 petang semalam.
Beliau diiktiraf sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985 dan terkenal menerusi karya seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi.