
KUALA LUMPUR, 25 November – Had baki e-dompet Wise bagi pelanggan di Malaysia dinaikkan kepada RM50,000, sekali gus menjadikannya had tertinggi yang ditawarkan bagi kemudahan e-dompet di negara ini.
- Pelanggan boleh menyimpan dan menguruskan wang dalam pelbagai mata wang melalui satu akaun, khususnya untuk pembayaran rentas sempadan.
- Penambahbaikan ini memberi lebih fleksibiliti untuk membiayai pendidikan luar negara dan meningkatkan perbelanjaan perjalanan.
- Pelanggan boleh menerima kiriman wang lebih besar dari luar negara.
- Pelanggan boleh memilih masa menukar mata wang, manakala had baharu terpakai secara automatik tanpa tindakan tambahan atau bayaran.
Peningkatan itu membolehkan pelanggan menyimpan dan menguruskan jumlah wang lebih besar dalam pelbagai mata wang menerusi satu akaun, khususnya bagi urusan pembayaran rentas sempadan.
Pengurus Negara Wise Malaysia, Yen Ting Chiam berkata, penambahbaikan berkenaan memberi lebih fleksibiliti kepada pelanggan untuk menampung perbelanjaan antarabangsa.
“Kami memberi rakyat Malaysia kawalan yang lebih besar ke atas wang mereka, menjadikannya lebih mudah untuk menguruskan perbelanjaan antarabangsa hanya melalui satu platform.
“Menerusi penambahbaikan ini, pelanggan Wise Malaysia kini boleh membiayai pendidikan luar negara, meningkatkan jumlah perbelanjaan bagi perjalanan mereka serta menerima kiriman wang dalam jumlah lebih besar dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelanggan syarikat teknologi kewangan global itu juga boleh memilih masa yang sesuai untuk menukar mata wang bagi mendapatkan kadar pertukaran yang lebih menguntungkan.
Had baharu RM50,000 itu terpakai secara automatik kepada semua pelanggan Wise yang berdaftar di Malaysia, tanpa memerlukan sebarang tindakan tambahan atau bayaran.