
KUANTAN, 24 November – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan pembukaan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) KotaSAS di sini, sebagai stesen pertama di sepanjang jajaran ECRL.
- ECRL berpotensi merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri-negeri Pantai Timur.
- Tujuh stesen ECRL di Pahang disaran menjadi hab pembangunan yang memacu ekonomi setempat, bukan sekadar prasarana pengangkutan.
- Stesen KotaSAS bakal menjadi hab pengangkutan utama Kuantan, menyokong pembangunan kawasan sekitar dan menawarkan kemudahan untuk pengguna.
Dalam titah perasmian, baginda menyifatkan perkhidmatan ECRL sebagai pemangkin perubahan yang bakal merancakkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri Pantai Timur.
Baginda bertitah, pembangunan ECRL yang digabungkan dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) berpotensi memperkukuh jaringan infrastruktur dan merancakkan pembangunan di kawasan Pantai Timur.
Baginda turut menzahirkan rasa syukur atas kemajuan pembinaan projek berkenaan yang kini telah mencapai tahap 99 peratus siap, sekali gus mendahului jadual asal.
“Jika kita perhatikan jurang pembangunan di Malaysia, khususnya antara kawasan pantai barat dengan pantai timur Semenanjung, jelas bahawa kawasan pantai barat lebih maju dan pesat membangun.
“Hal ini antara lain disebabkan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian kereta api dan lebuh raya yang dibangunkan lebih awal berbanding di kawasan pantai timur,” titah baginda.
Keberangkatan baginda ke stesen itu diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda, termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
Menyentuh mengenai tujuh stesen ECRL di Pahang, baginda bertitah agar setiap stesen tersebut berfungsi sebagai hab pembangunan yang memacu kegiatan ekonomi setempat dan bukan sekadar prasarana pengangkutan semata-mata.
Dalam pada itu, Sultan Pahang turut menitahkan agar aspek penyelenggaraan dan operasi sentiasa mengutamakan faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar berkata, projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu kini mencapai kemajuan sebanyak 99.03 peratus bagi jajaran fasa pertama iaitu dari Kota Bharu ke Gombak.
Tambahnya, ECRL yang dijadualkan memulakan operasi pada 12 Disember depan, dengan perjalanan dari Kuantan ke Gombak dijangka mengambil masa hanya satu jam 30 minit berbanding kira-kira tiga jam melalui jalan raya.
Jajaran ECRL di Pahang sepanjang 258 kilometer pula mencatat kemajuan 99.17 peratus setakat Oktober lalu, melibatkan tujuh stesen iaitu KotaSAS, Cherating, Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong.
“Stesen ECRL KotaSAS juga terletak di lokasi strategik, berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan Masjid Bandaraya yang dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.
“Perkembangan ini bakal memperkukuh peranan Stesen ECRL KotaSAS sebagai antara hab pengangkutan utama di Kuantan, sekali gus menyokong pertumbuhan dan pembangunan kawasan KotaSAS,” katanya.
Stesen KotaSAS yang dibangunkan di kawasan seluas 15.57 hektar itu merupakan stesen utama di Pahang, dilengkapi lebih 500 petak parkir serta pelbagai kemudahan bagi keselesaan pengguna.