
IPOH, 24 November – Sebanyak RM40 juta diperuntuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi kerja membaiki serta menurap semula jalan, khususnya di kawasan
perumahan di Perak.
- RM20 juta disalur kepada Parlimen Tambun dan sekitar Ipoh yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di Perak.
- Peruntukan diperoleh hasil langkah penjimatan KPKT sebanyak RM67.4 juta.
- Peruntukan disalur dalam masa terdekat dan semua projek dijangka siap menjelang Aidilfitri tahun depan, dalam tempoh empat hingga lima bulan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, RM20 juta disalur kepada Parlimen Tambun dan sekitar Ipoh yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negeri ini.
Tambahnya, peruntukan berkenaan diperoleh hasil langkah penjimatan KPKT yang mencatatkan sebanyak RM67.4 juta.
“Dengan menggunakan peruntukan sedia ada, kita tidak berbelanja secara berlebihan, sebaliknya mengoptimumkan setiap sen bagi memastikan rakyat dapat merasai, melihat dan menikmati sendiri hasil serta pencapaian kerajaan yang benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Nga berkata demikian selepas pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2027 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Peruntukan itu akan disalurkan dalam masa terdekat, dengan semua projek dijangka siap menjelang Aidilfitri tahun depan dalam tempoh empat hingga lima bulan.