KBS jamin pembangunan sukan golongan pekak tidak terpinggir

Dr. Mohammed Taufiq Johari/ RTM

PUTRAJAYA, 24 November- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan pembangunan sukan golongan pekak akan terus diberi perhatian, termasuk dari segi penyaluran peruntukan bagi memastikan kebajikan dan pembangunan atlet berkenaan terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS menyalurkan lebih RM8 juta kepada MSDeaf sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
  • MSDeaf menerima peruntukan RM2 juta pada 2026 menerusi geran bantuan dua kali setahun.
  • Peruntukan pembangunan sukan RM460 juta dalam Belanjawan 2027 turut merangkumi sukan orang pekak.
  • KBS terbuka berbincang dengan MSDeaf bagi mengenal pasti keperluan dan menyokong pembangunan sukan golongan pekak.

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata KBS telah menyalurkan lebih RM8 juta kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata sebanyak RM2 juta turut diperuntukkan kepada persatuan itu pada 2026 menerusi geran bantuan yang disalurkan dua kali setahun.

“Kita lihat dalam Belanjawan 2027, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan pembangunan sukan sebanyak RM460 juta, termasuk sukan orang pekak.

“Sebab itu, kita perlu berbincang secara menyeluruh bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan penyaluran dana tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV Penggal Ke-35 Sesi 2025-2026, di sini, hari ini.

Tambah beliau, KBS sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan MSDeaf bagi mengenal pasti keperluan persatuan itu serta memastikan pembangunan sukan golongan pekak terus mendapat sokongan.

Katanya, beberapa pertemuan juga telah diadakan bersama Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn bagi membincangkan perkara berkenaan secara menyeluruh.

Sebelum ini, Ong memaklumkan MSDeaf mempunyai kira-kira RM20,000 dan masih giat mendapatkan sumbangan pihak luar bagi menampung keperluan kewangan kontinjen negara ke Deaflympics Musim Sejuk 2027.

Temasya itu dijadual berlangsung di Innsbruck-Seefeld, Tirol, Austria dari 15 hingga 24 Januari 2027, dengan enam atlet negara bakal mengambil bahagian.

Mereka ialah Leong Ee Hern, Loo Pin Xie, Ezwany Osman, Goh Sheng Wei, Yoshni Ramakrishnan dan Ainnur Asyikin Jupineh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.