AS tuan rumah Piala Dunia Wanita 2031

Logo FIFA dipaparkan sempena pengumuman United Kingdom sebagai tuan rumah Piala Dunia Wanita 2035/Foto AFP

PARIS, 24 November – Amerika Syarikat (AS) bersama Mexico, Costa Rica dan Jamaica disahkan sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2031, manakala United Kingdom (UK) akan menganjurkan pada edisi 2035.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS, Mexico, Costa Rica dan Jamaica akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2031.
  • Kejohanan 2031 akan menampilkan 48 pasukan buat kali pertama.
  • England, Scotland, Ireland Utara dan Wales akan menganjurkan edisi 2035.
  • FIFA belum memutuskan bandar venue; kebanyakan perlawanan 2031 dijangka berlangsung di AS, manakala England menjadi lokasi utama pada 2035.

Perkara itu disahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas kedua-dua bidaan diluluskan menerusi undian secara aklamasi dalam Kongres FIFA yang diadakan secara maya.

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, Piala Dunia Wanita 2031 bakal menampilkan 48 pasukan buat kali pertama, dengan empat negara bergabung sebagai tuan rumah kejohanan itu.

“Mulai 2031, akan ada 48 pasukan dan empat negara tuan rumah. Ini satu perkembangan luar biasa dalam tempoh beberapa tahun sahaja,” katanya.

Bagi edisi 2035, England, Scotland, Ireland Utara dan Wales akan menjadi tuan rumah bersama selepas bidaan gabungan empat negara itu menjadi satu-satunya pencalonan kepada FIFA.

Sebanyak 22 stadium dicadangkan sebagai venue kejohanan itu, dengan 16 di England, tiga di Wales, dua di Scotland dan satu di Ireland Utara

Scotland pula mencadangkan dua stadium, iaitu Hampden Park di Glasgow yang mampu menampung 52,000 penonton dan Easter Road di Edinburgh dengan kapasiti 20,000 penonton.

FIFA bagaimanapun belum memutuskan bandar yang bakal menjadi venue perlawanan bagi kedua-dua edisi berkenaan.

Bagi edisi 2031, kebanyakan perlawanan dijangka berlangsung di AS, manakala England dijangka menjadi lokasi utama bagi kejohanan 2035.

Amerika sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita pada 1999 dan 2003, selain memegang rekod empat kali juara kejohanan itu.

Sementara itu, edisi seterusnya akan berlangsung di Brazil dari 24 Jun hingga 25 Julai tahun depan dengan penyertaan 32 pasukan.

Sepanyol bakal mempertahankan gelaran selepas muncul juara edisi 2023 di Australia dan New Zealand, hasil kemenangan ke atas England pada perlawanan akhir. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.