
KUALA LUMPUR, 24 November – Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperluas pembelian program tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif.
- Enam agenda utama dipersetujui bagi memperkukuh kerjasama antara majikan dengan pekerja industri kreatif.
- Keahlian PROFIMA bagi pekerja produksi belakang tabir dan PTVM bagi syarikat penerbitan televisyen dicadangkan diwajibkan.
- Kedua-dua persatuan mahu memperluas caruman PERKESO kepada semua pekerja kreatif, termasuk pekerja bebas, serta menubuhkan tabung kebajikan.
- Townhall Industri Kreatif dirancang pada Januari 2027 untuk membincangkan pekerjaan, upah, perlindungan sosial dan kebajikan pekerja.
Gesaan itu antara enam agenda utama yang dipersetujui kedua-dua persatuan menerusi usaha memperkukuh kerjasama antara majikan dan pekerja.
Menurut kenyataan bersama, persefahaman itu dicapai susulan kunjungan hormat delegasi PROFIMA diketuai Presidennya, Khalil Salleh, kepada PTVM yang dipimpin Presidennya, Jurey Latiff Rosli.
“Kedua-dua persatuan mencadangkan keahlian PROFIMA diwajibkan kepada pekerja produksi belakang tabir, manakala syarikat penerbitan televisyen diwajibkan menyertai PTVM bagi meningkatkan profesionalisme dan penyelarasan industri,” katanya.
Mereka turut memperjuangkan peluasan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada semua pekerja industri kreatif, termasuk pekerja bebas yang terbabit dalam produksi televisyen dan filem.
Mekanisme caruman bersesuaian akan dicadangkan kepada PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Dalam masa sama, kedua-dua persatuan bersetuju mengusahakan penubuhan Tabung Kebajikan Pekerja Industri Kreatif bagi membantu penggiat industri yang berdepan kemalangan, penyakit serius atau kesulitan hidup.
Tabung itu dicadangkan menerusi sumbangan persatuan, syarikat penerbitan, kerajaan dan pihak korporat dengan tadbir urus yang telus.
“PTVM dan PROFIMA juga merancang menganjurkan Townhall Industri Kreatif pada Januari 2027 bagi membincangkan peluang pekerjaan, kadar upah, perlindungan sosial dan kebajikan pekerja, selain menjadi platform pelancaran tabung berkenaan,” kata kenyataan itu lagi.
Kedua-dua persatuan turut menegaskan kepentingan musyawarah dan rundingan dalam menyelesaikan perbezaan antara majikan dengan pekerja demi memastikan keharmonian serta kelangsungan industri kreatif negara.