
KUALA LUMPUR, 23 November – Penduduk di Lembah Klang kini boleh mendapatkan perkhidmatan ambulans kecemasan secara percuma menerusi talian 15551 yang diperkenalkan IHH Healthcare Malaysia, sekali gus menyediakan pilihan tambahan kepada sistem kecemasan negara, MERS 999.
- Enam hospital swasta diselaraskan menerusi satu nombor kecemasan bagi memperluas akses ambulans dan mempercepat rawatan pesakit.
- Pemanggil boleh menjejaki lokasi ambulans secara masa nyata melalui WhatsApp dan SMS, sementara hospital dimaklumkan lebih awal.
- Ambulans Jenis A memenuhi piawaian KKM, dilengkapi Sokongan Hayat Lanjutan dan dikendalikan paramedik terlatih.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, peningkatan populasi dan keperluan perkhidmatan kesihatan menuntut kerjasama semua pihak kerana sektor awam tidak mampu memikul tanggungjawab itu secara bersendirian.
Menurutnya, penyelarasan enam hospital swasta di bawah satu nombor kecemasan dapat membantu memperluas akses kepada bantuan ambulans dan memastikan pesakit menerima rawatan tepat pada masanya.
“Kita mengalu-alukan sokongan bermakna daripada penyedia perkhidmatan kesihatan swasta untuk saling melengkapi perkhidmatan awam sedia ada supaya rakyat menerima rawatan tepat pada masanya,” katanya ketika merasmikan pelancaran perkhidmatan itu, di sini.
Enam hospital terbabit ialah Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Prince Court Medical Centre serta Hospital Pantai Kuala Lumpur, Ampang, Cheras dan Klang.
Perkhidmatan itu turut menyediakan pautan WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi membolehkan pemanggil menjejaki lokasi ambulans secara masa nyata, selain memaklumkan jabatan kecemasan hospital lebih awal.
Dalam pada itu, Datuk Hanifah turut menyeru orang ramai supaya memberikan laluan kepada ambulans di jalan raya bagi memastikan bantuan kecemasan dapat disampaikan dengan segera.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata, ambulans Jenis A yang digunakan memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dilengkapi kemudahan Sokongan Hayat Lanjutan (Advanced Life Support) dan dikendalikan paramedik terlatih.
Beliau berkata, perkhidmatan itu berpotensi diperluaskan ke negeri lain bergantung pada keberkesanan pelaksanaan fasa pertama.