
JOHOR BAHRU, 23 November – Sebanyak 1,000 pegawai dan anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor bersedia digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
- Persiapan operasi, logistik dan penugasan di seluruh daerah bagi memastikan tindakan pantas apabila amaran cuaca buruk dikeluarkan.
- APM Johor mengadakan 13 siri latihan melibatkan 1,158 peserta, termasuk latihan pengendalian bot dan pengurusan PPS.
- Sebanyak 61 bot penyelamat, 11 lori dan 16 kenderaan pacuan empat roda disediakan, sementara PKOD beroperasi 24 jam.
Pengarah APM Johor Kamal Mokhtar berkata persiapan meliputi aspek operasi, logistik dan penugasan di seluruh daerah bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana.
“APM Johor sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan sekiranya berlaku bencana dan bersedia menggerakkan segala kekuatan logistik serta keanggotaan sejurus amaran cuaca buruk dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak 13 siri latihan dalaman dan bersepadu melibatkan 1,158 peserta daripada APM, agensi kerajaan dan komuniti setempat telah diadakan, termasuk latihan pengendalian bot serta pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS).
Dari segi aset, sebanyak 61 bot penyelamat, 11 lori pengangkut dan 16 kenderaan pacuan empat roda disediakan mengikut kawasan berisiko banjir, manakala semua Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) beroperasi 24 jam bagi memantau keadaan cuaca, paras air sungai dan menerima panggilan kecemasan.
Kamal berkata orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi arahan berpindah, menyimpan dokumen penting di tempat selamat serta menyediakan beg kecemasan dengan bekalan asas untuk sekurang-kurangnya 72 jam.
Beliau berkata sebarang kecemasan boleh dilaporkan menerusi talian NG 999, manakala orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi MyCuaca serta mengikuti saluran rasmi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MetMalaysia dan InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mendapatkan maklumat terkini.- BERNAMA