
KUALA LUMPUR, 23 November – Malaysia dan Laos bersedia mengoperasikan semula perkhidmatan kereta api rentas sempadan ASEAN Express yang menghubungkan Singapura, Malaysia, Thailand, Laos hingga ke China, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan rel serantau.
- Malaysia, Singapura dan Laos bersedia mengoperasikan ASEAN Express, manakala Thailand sedang menguji serta mentauliahkan lokomotif.
- Persediaan akhir tertumpu pada aspek teknikal dan pematuhan peraturan Thailand sebelum operasi dapat dimulakan.
- Kerjasama Malaysia-Laos merangkumi latihan teknikal, sistem tiket dan pembangunan rel, selain membuka peluang perdagangan rentas sempadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, Malaysia, Singapura dan Laos telah bersedia, manakala Thailand kini melaksanakan pengujian serta pentauliahan lokomotif.
Menurutnya usaha itu kini memasuki fasa persediaan akhir dengan tumpuan diberikan kepada aspek teknikal dan pematuhan keperluan operasi perkhidmatan kereta api di Thailand.
“Ketika ini, tumpuan lebih diberikan kepada aspek teknikal, termasuk spesifikasi gerabak, diameter, tren dan lokomotif. Proses pengujian dan pentauliahan sedang dijalankan bagi memastikan semua keperluan peraturan yang ditetapkan oleh State Railway of Thailand (SRT) dan kerajaan Thailand dipatuhi sebelum tren kita dibenarkan memasuki negara itu.
“Buat masa ini, gerabak kita sudah memasuki Thailand, namun lokomotif masih perlu melalui proses pengujian dan pentauliahan. Sebaik sahaja proses itu selesai, kita bersedia untuk memulakan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Laos Thongsavan Phomvihane di KTMB bersempena ulang tahun ke-60 kerjasama perkhidmatan kereta api Malaysia-Laos hari ini.
Beliau berkata kerjasama dalam sektor keretapi turut merangkumi pembangunan kepakaran menerusi program latihan teknikal dan operasi yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
Malaysia turut meneroka peluang kerjasama dengan Laos dalam aspek sistem tiket serta pembangunan perkhidmatan rel.
“Laos sudah bersedia dengan kita. Malah, program latihan kepada pegawai negara itu telah dimulakan sejak dua tahun lalu. Kerjasama latihan yang bermula pada 2024 dan 2025, diteruskan pada 2026 dan 2027, dengan penilaian dibuat terhadap keperluan latihan seterusnya,” katanya.
ASEAN Express dijangka membuka peluang kepada pengangkutan barangan dan penumpang yang lebih bersepadu antara negara terlibat, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dan jaringan pengangkutan antara ASEAN dengan China.
Sesi lawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Thongsavan Phomvihane di KTMB Berhad memperkukuh hubungan diplomatik sedia ada antara Malaysia dengan Laos, serta membuka peluang ekonomi rentas sempadan menerusi pengoperasian semula perkhidmatan ASEAN Express.