
KUALA LUMPUR, 23 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berdialog bersama sembilan panel daripada pelbagai bidang menerusi program Dialog Negara, Rabu ini.
- Program bertemakan “Di Sebalik Keputusan” memberi gambaran tentang pertimbangan dan proses pemikiran sebelum keputusan kerajaan diumumkan.
- Panel pelbagai latar belakang diberi ruang mengemukakan pandangan serta soalan secara langsung, dengan maklum balas Perdana Menteri.
- Panel terdiri daripada wakil bidang hartanah, penyelidikan etnik, perubatan dan keusahawanan digital.
- Lebih 400 penonton berpeluang bertanya; program disiarkan 25 November, pukul 9 malam menerusi TV1, Berita RTM dan media sosial RTM.
Penerbitnya, Shahril Sarapudin berkata, episod pertama yang menampilkan Perdana Menteri itu membawa tema ‘Di Sebalik Keputusan’ bagi memberi gambaran kepada masyarakat mengenai proses pemikiran dan pertimbangan pemimpin sebelum sesuatu keputusan kerajaan diumumkan.
“Selain pencapaian yang diraih kerajaan, terdapat juga perkara di sebalik sesuatu keputusan yang tidak diketahui masyarakat, termasuk proses pemikiran Perdana Menteri sebelum sesuatu keputusan diumumkan.
“Justeru, kita mahu mengetengahkan sudut itu supaya rakyat bukan sahaja mengetahui pencapaian kerajaan, tetapi turut memahami perkara yang berlaku di sebalik usaha menghasilkan pencapaian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kelainan program itu terletak pada peluang yang diberikan kepada panel daripada pelbagai latar belakang untuk mengemukakan pandangan serta persoalan secara langsung kepada Perdana Menteri.
“Panel yang terlibat bukan sekadar hadir untuk berkongsi pandangan, malah diberi ruang mengemukakan soalan dan menyuarakan perkara yang menjadi perhatian mereka berhubung perkembangan semasa negara.
“Keunikan diskusi ini ialah Perdana Menteri akan memberikan maklum balas secara terus terhadap pandangan dan persoalan yang dibangkitkan panel industri di hadapan semua yang hadir,” katanya lagi.
Barisan panel Industri yang terlibat ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik UKM Datuk Dr. Anis Yusal Yusof; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.
Turut terlibat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group Dr. Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal; Pendakwah Bebas, Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.
Lebih 400 penonton yang terdiri daripada pelajar, pemimpin masyarakat, penjawat awam dan wakil persatuan turut berpeluang mengemukakan soalan dalam sesi dialog berkenaan.
Program yang dikendalikan pengacara RTM, Ismail Adnan itu akan disiarkan pada 25 November ini, pada pukul 9.00 malam menerusi TV1, Berita RTM dan platform media sosial RTM.