
BARCELONA, 23 November – Hampir 300 migran termasuk wanita dan kanak-kanak tiba di Pulau El Hierro, Kepulauan Canary, Sepanyol selepas diselamatkan pasukan penyelamat maritim negara itu.
- Pihak berkuasa El Hierro mengisytiharkan darurat bagi menangani tekanan terhadap kemudahan dan penempatan sementara migran.
- Hospital tempatan semakin terbeban, sementara ribut mengancam keselamatan migran yang masih berada di laut.
- Rondaan lebih ketat mendorong migran memulakan perjalanan dari kawasan lebih jauh ke selatan, menjadikan laluan Atlantik lebih panjang dan berbahaya.
Mereka tiba ketika pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat susulan peningkatan mendadak jumlah migran yang tiba di pulau berkenaan.
Ketua Majlis Pemerintahan Pulau El Hierro, Alpidio Armas, berkata jumlah ketibaan yang meningkat sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan, terutama dari segi keupayaan pulau itu menyediakan kemudahan dan penempatan sementara.
Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 3,300 migran tiba di pulau berkenaan menerusi kira-kira 30 bot sejak awal November.
Keadaan itu turut memberi tekanan kepada kemudahan kesihatan apabila situasi di hospital tempatan disifatkan semakin tidak memuaskan.
Armas berkata, pengisytiharan darurat bertujuan membolehkan kerjasama dengan institusi kerajaan pusat bagi menangani kemasukan migran.
Bagaimanapun, keadaan pelayaran yang biasanya lebih baik pada penghujung tahun menyebabkan laluan laut ke Kepulauan Canary terus menjadi pilihan migran.
Pihak berkuasa turut memberi amaran ribut yang dijangka melanda boleh membahayakan mereka yang masih berada di laut.
Minggu ini, dua migran ditemukan maut dalam sebuah bot yang cuba menuju ke kepulauan itu, manakala lima lagi dipercayai terkorban berdasarkan keterangan mangsa terselamat.
Dalam perkembangan berkaitan, polis Senegal memintas 142 migran tanpa dokumen, termasuk wanita dan kanak-kanak, ketika mereka cuba menuju ke Kepulauan Canary pada Jumaat.
Mereka terdiri daripada 40 warga Senegal, 93 warga Gambia, seorang warga Guinea-Bissau, dua warga Guinea dan dua warga Nigeria.
Data Kementerian Dalam Negeri Sepanyol menunjukkan 13,327 migran tanpa dokumen tiba di Kepulauan Canary melalui laut dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Angka itu menurun 5.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, jumlah ketibaan pernah mencatat rekod melebihi 46,000 orang pada 2024.
Peningkatan rondaan di perairan Senegal, Mauritania dan Maghribi turut menyebabkan migran memulakan perjalanan dari kawasan lebih jauh ke selatan, termasuk Gambia, Guinea-Bissau dan Guinea.
Laluan yang semakin jauh itu menjadikan perjalanan merentasi Lautan Atlantik lebih panjang dan berbahaya. – AFP