Program MATRADE pacu prestasi eksport 7,434 PKS

Foto MATRADE

KUALA LUMPUR, 23 November – Program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya membantu 7,434 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjana eksport bernilai RM63.60 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 7,211 PKS menyumbang RM57.29 bilion kepada eksport barangan bukan E&E.
  • PKS mencatat prestasi kukuh dalam sektor bernilai tinggi seperti makanan diproses, kimia, jentera dan produk berasaskan minyak sawit.
  • MATRADE memperkukuh eksport melalui penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa dan program pembinaan kapasiti Akademi MATRADE.

MATRADE dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan itu turut menghasilkan lebihan dagangan RM12.04 bilion serta menyokong lebih 383,000 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh peranan PKS dalam prestasi perdagangan negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,211 PKS menyumbang RM57.29 bilion kepada eksport barangan bukan elektrik dan elektronik (E&E), mewakili kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan eksport PKS,” menurut kenyataan itu.

Tambah MATRADE, prestasi itu disokong penglibatan PKS dalam sektor berpotensi tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), termasuk makanan diproses, kimia dan bahan kimia, jentera, kelengkapan serta peralatan dan produk berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan program pembangunan kapasiti dan promosi eksport yang dilaksanakan agensi berkenaan bagi membantu syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Pencapaian ini jelas membuktikan keberkesanan intervensi strategik yang dilaksanakan MATRADE secara berterusan menerajui penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan antarabangsa ikonik untuk memperoleh kontrak global bernilai tinggi.

“Ini selain pelaksanaan program pembinaan kapasiti melalui Akademi MATRADE bagi memastikan daya tahan eksport PKS terjamin dalam jangka masa panjang,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, jumlah eksport melonjak sebanyak 37.1 peratus tahun ke tahun mencecah RM1.811 trilion.

Peningkatan itu turut menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM274.81 bilion, paras tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh berkenaan.

Eksport barangan E&E kekal sebagai pemacu utama dengan peningkatan 53.9 peratus kepada RM891.99 bilion, manakala eksport bukan E&E berkembang 24 peratus kepada RM919.17 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan dagangan RM74.03 bilion.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.