
TEHRAN, 23 November – Iran mendedahkan sistem pelancar peluru berpandu baharu ketika barisan tertinggi komander tenteranya menegaskan keupayaan ketenteraan Republik Islam itu menerusi kenyataan berbaur cabaran terhadap Amerika Syarikat (AS).
- Iran memperkenalkan pelancar yang mampu melepaskan dua peluru berpandu bahan api cecair secara serentak.
- Rakaman televisyen menunjukkan komander melawat pangkalan bawah tanah yang dipenuhi peluru berpandu dan kelengkapan ketenteraan.
- Komander aeroangkasa Iran berkata keupayaan ketenteraan negara itu meningkat selepas dua konflik.
Televisyen kerajaan Iran pada Sabtu melaporkan bahawa sebuah pelancar yang berupaya melepaskan dua peluru berpandu bahan api cecair secara serentak telah diperkenalkan buat pertama kali.
Stesen penyiaran itu turut menyiarkan rakaman Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Ahmad Vahidi bersama Ketua Pasukan Aeroangkasa Pengawal Revolusi, Majid Mousavi ketika melakukan lawatan ke sebuah pangkalan peluru berpandu bawah tanah.
Kedua-dua komander berkenaan dipaparkan menaiki sebuah kenderaan yang bergerak melalui terowong panjang yang dipenuhi peluru berpandu, sistem pelancar dan pelbagai kelengkapan ketenteraan lain.
“Kerugian yang dialami musuh kita hanyalah permulaan. Kita akan menyaksikan kehinaan mereka,” kata Vahidi.
Sementara itu, Mousavi berkata keupayaan ketenteraan Iran semakin meningkat selepas negara itu berdepan dua konflik sebelum ini.
“Keupayaan kita semakin berkembang sepanjang dua konflik lalu, manakala persenjataan berprestasi tinggi yang dimiliki mampu menggentarkan musuh,” katanya.
Sistem pelancar baharu itu diperkenalkan ketika perang di Asia Barat memasuki beberapa bulan sejak tercetus pada 28 Februari lalu, susulan serangan AS dan Israel yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke beberapa negara di rantau itu, manakala kumpulan yang disokongnya di Lubnan, Yaman dan Iraq turut menyertai konflik berkenaan.
Ketika konflik memuncak, serangan AS-Israel menyasarkan keupayaan peluru berpandu Iran serta sekali lagi menyerang kemudahan nuklear negara itu, namun tahap kerosakan sebenar masih belum dapat dipastikan.
Awal bulan ini, Iran turut memperkenalkan sebuah lagi pangkalan peluru berpandu bawah tanah yang menempatkan peluru berpandu balistik dan kruis serta sistem pelancar. -AFP