
SHAH ALAM, 22 November – Gabungan Kelab Mahasiswa Komunikasi Massa menerima sumbangan RM50,000 bagi menggalakkan penganjuran program pembangunan dan peningkatan kemahiran mahasiswa.
- Sumbangan bagi memperkukuh peranan gabungan dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi cabaran industri komunikasi dan perkembangan kecerdasan buatan.
- Cadangan untuk meluaskan gabungan kepada semua IPTA dan seterusnya IPTS yang menawarkan jurusan komunikasi massa.
- Kerajaan digesa tingkatkan sesi libat urus dengan pelajar bagi mendengar kebimbangan AI dan melindungi masa depan wartawan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sumbangan itu bertujuan memperkukuh peranan gabungan berkenaan dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi cabaran industri komunikasi dan kewartawanan, khususnya susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut mencadangkan supaya gabungan itu diperluas kepada semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang menawarkan jurusan komunikasi massa.
“Saya difahamkan ada lima universiti yang hadir dan sebagai galakan mereka merencana beberapa program ke depan, saya mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada gabungan dan saya minta supaya gabungan ini diperluas kepada semua IPTA dan seterusnya mungkin juga IPTS yang mempunyai fakulti atau jurusan komunikasi massa.
“Ini penting kerana saya lihat banyak isu dan perkara yang dibangkitkan oleh para pelajar dalam siri pertemuan saya bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Mahasiswa Komunikasi dan Media (COMMNATCON) anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam, Selangor.
Mengulas mengenai kebimbangan mahasiswa terhadap prospek kerjaya dalam industri kewartawanan susulan perkembangan AI, Datuk Seri Fahmi berkata, lebih banyak sesi libat urus bersama golongan itu perlu diadakan bagi mendengar pandangan mereka.
“Banyak yang bertanya tentang masa depan dan kesan keberadaan AI, contohnya dalam bidang kewartawanan. Saya lihat perlu lebih banyak sesi libat urus di pihak saya dengan para pelajar di universiti-universiti.
“Jadi, insya-Allah, bukan sekadar untuk mendengar, tetapi juga menyatakan beberapa usaha pihak kerajaan, terutamanya untuk melindungi pekerjaan wartawan dan masa depan bidang kewartawanan serta komunikasi massa dengan adanya AI”, katanya.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan masa depan bidang kewartawanan dan komunikasi massa terus diberi perhatian seiring perkembangan teknologi AI.