MPC perkasa produktiviti PKS, perluas akses ke pasaran global

 Mokhzani Aris Mohd Yusoff/ RTM

KUALA LUMPUR, 22 November- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mempergiat usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi menerusi pendekatan Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) dan pelaksanaan Program QE 5.0.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan berasaskan data mengenal pasti kelemahan operasi dan membolehkan adaptasi teknologi digital melalui bukti konsep.
  • Penjimatan hasil bukti konsep membantu menilai keberkesanan penambahbaikan mengikut prinsip kelestarian dan agenda ESG.
  • Sinergi inisiatif produktiviti dan kualiti membangunkan ekosistem industri lebih produktif, inovatif, berdaya tahan serta menarik pelaburan dan pekerjaan bernilai tinggi.

Ketua Persekitaran PSQE 5.0 MPC, Mokhzani Aris Mohd Yusoff berkata gabungan kedua-dua inisiatif itu membolehkan syarikat tempatan melaksanakan transformasi perniagaan melalui penggunaan teknologi digital, inovasi proses kerja, kepakaran industri dan pembangunan modal insan.

Beliau berkata pendekatan berasaskan data membolehkan syarikat mengenal pasti kelemahan operasi serta ruang penambahbaikan sebelum teknologi dan penyelesaian digital disesuaikan mengikut keperluan perniagaan.

“Kita boleh membantu dari segi meningkatkan operasi tersebut, POC (bukti konsep) melalui pendekatan data-data yang kita kumpulkan sebelum kita adaptasikan teknologi dan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Mengulas lanjut, Mokhzani berkata penjimatan hasil pelaksanaan bukti konsep itu turut membolehkan syarikat menilai keberkesanan penambahbaikan dari aspek kelestarian, selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Melalui penjimatan yang kita zahirkan dari segi POC tersebut, kita dapat lihat bahawa setiap elemen penambahbaikan itu adakah ia selari dengan kelestarian. Objektif utama kalau kita lihat kebanyakan pelan hala tuju yang dikeluarkan agensi kerajaan adalah menjurus kepada ESG,” katanya.

Menurutnya, sinergi PSPN dan Program QE 5.0 atau Quality Environment 5.0 yang saling melengkapi berupaya membangunkan ekosistem industri lebih produktif, inovatif dan berdaya tahan.

Usaha itu juga dijangka mempercepat penerapan budaya produktiviti dalam kalangan industri tempatan, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.