
BANDAR MEXICO, 21 November – Ketua kumpulan pengedaran dadah Mexico, Fausto Isidro Meza, yang tersenarai antara 10 penjenayah paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), berjaya ditahan pada Jumaat lalu.
- Operasi dilaksanakan dengan penyelarasan agensi perisikan AS sebagai sebahagian kerjasama keselamatan kedua-dua negara.
- Pertempuran bersenjata dan kekecohan dilaporkan di Guasave, termasuk berhampiran stadium semasa perlawanan besbol.
- Suspek diterbangkan ke Bandar Mexico menggunakan pesawat tentera untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan.
- Ketua disyaki mengetuai kumpulan Beltran Leyva, berhubung dengan kartel Sinaloa; berdepan tuduhan penyeludupan pelbagai dadah dan ganjaran AS$5 juta.
Suspek berusia 44 tahun yang dikenali sebagai Chapo Isidro itu diberkas bersama dua anggota kanan kumpulannya dalam serbuan pasukan khas di bandar Guasave.
Menurut Sekretariat Pertahanan Negara Mexico, operasi berkenaan dilaksanakan melalui penyelarasan dengan agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada kerjasama keselamatan kedua-dua negara.
Penahanan itu bagaimanapun mencetuskan pertempuran bersenjata dan kekecohan di sekitar Guasave, termasuk berhampiran sebuah stadium ketika perlawanan besbol sedang berlangsung.
Media tempatan melaporkan, sekatan jalan raya turut dijalankan di beberapa kawasan Sinaloa susulan operasi berkenaan.
Ketiga-tiga suspek kemudian diterbangkan ke Bandar Mexico menggunakan pesawat tentera udara untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Chapo Isidro dipercayai mengetuai kumpulan Beltran Leyva yang mempunyai hubungan dengan salah satu puak dalam kartel Sinaloa.
Dia berdepan pertuduhan jenayah di Mexico dan AS, termasuk dakwaan terlibat dalam penyeludupan heroin, syabu, kokain, fentanyl dan ganja ke negara itu.
Jabatan Negara AS sebelum ini menawarkan ganjaran AS$5 juta bagi sesiapa yang menyalurkan maklumat hingga membawa kepada penangkapannya.
Penahanan tersebut berlaku beberapa hari selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump di Asia bagi membincangkan isu perdagangan dan keselamatan.
Trump sebelum ini berulang kali mendesak Mexico mempergiat usaha membanteras kartel dadah yang didakwanya semakin mengancam keselamatan negara berkenaan. – AFP