Kebebasan perlu disertai adab, keberanian berlandaskan fakta – Sultan Pahang

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bertitah pada Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Kuala Lumpur (UniKL)/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 November – Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahguna sebagai alasan untuk bertindak sesuka hati, manakala keberanian pula bukan lesen untuk mengetepi adab dan kesopanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebebasan bersuara tidak harus disalahguna; keberanian bukan lesen untuk mengetepi adab dan kesopanan.
  • Setiap kritikan mesti berlandaskan fakta dan ilmu serta disampaikan dengan beradab; perbezaan pandangan diraikan secara matang.
  • Generasi muda perlu berilmu tinggi, bersemangat patriotik, setia kepada Raja dan negara serta menghormati agama dan Perlembagaan.
  • Keamanan dan kemerdekaan hasil pengorbanan lalu wajib dihargai dan dipelihara; jangan memperlekeh warisan atau meremehkan institusi negara.

Titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kebijaksanaan bukan diukur melalui kelantangan bersuara atau tindakan mempertikai sesuatu tanpa asas ilmu dan fakta.

Sebaliknya, setiap kritikan perlu berlandaskan fakta, teguran disampaikan dengan beradab dan perbezaan pandangan dirai secara matang.

“Generasi muda perlu bukan sahaja berilmu tinggi, malah memiliki semangat patriotisme, kesetiaan kepada Raja dan negara serta menghormati agama dan Perlembagaan.

“Keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati hari ini hasil perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu yang wajib dihargai dan dipelihara,” titah Baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-23 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

Titah Al-Sultan Abdullah lagi, generasi muda diingat tidak bersikap angkuh apabila diberi ruang dan kebebasan, sebaliknya terus menghargai asal usul serta tidak melupakan asas yang menjadi tonggak keamanan dan kemakmuran negara.

“Rakyat tidak seharusnya memperlekeh warisan, mempertikai institusi atau meremehkan asas kenegaraan yang selama ini menjadi pelindung kepada kehidupan masyarakat, selepas menikmati keamanan dan kemakmuran negara,” tambah Baginda.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pro-Canselor UniKL,.

Pada majlis sama, Tengku Hassanal turut dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor UniKL yang baharu, menggantikan Al-Sultan Abdullah yang memegang jawatan itu dari tahun 2004 hingga 2025.

UniKL turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori ‘Longest Serving Royal Chancellor of a Private Higher Education Institution’ sebagai penghormatan terhadap khidmat Sultan Pahang kira-kira 21 tahun.

Selain itu, bekas Presiden UniKL Prof. Datuk Dr. Abdul Hakim Juri turut diberi penghormatan apabila dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus atas sumbangan beliau termasuk dalam mencetuskan semangat ‘Satu UniKL’ sepanjang menerajui institusi berkenaan.

Konvokesyen yang berlangsung dari 21 hingga 26 November itu meraikan 8,147 graduan dari 39 negara merangkumi 60 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 178 sarjana, 5,326 sarjana muda, 2,570 diploma dan 13 penerima sijil profesional.

Turut diraikan ialah 64 graduan Program Teknologis Huffaz serta 44 graduan sulung daripada lapan program baharu.

Majlis turut meraikan graduan UniKL yang ke-100,000, satu pencapaian membanggakan sejak penubuhannya pada tahun 2002.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.