Pelajar SBP maut: KPM siasat keselamatan, pengurusan sekolah

Sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak

KUALA LUMPUR, 20 November – Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh berhubung kejadian yang mengorbankan seorang murid Tingkatan Tiga di Kuala Kangsar, Perak, pada Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM meneliti aspek keselamatan dan pengurusan sekolah dalam siasatan.
  • Mohon pelaporan beretika; hormati perasaan dan privasi keluarga, elakkan sebarang spekulasi.
  • KPM bersama JKM memastikan keluarga menerima bantuan dan sokongan psikososial, terutamanya anak yang masih bersekolah.
  • Perkukuh Program Saringan Minda Sihat bersama KKM; ibu bapa diajak mendekati dan perhatikan perubahan emosi anak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, siasatan termasuk meneliti aspek keselamatan dan pengurusan sekolah.

“Saya juga berharap agar semua pihak mengamalkan pelaporan yang beretika dan bertanggungjawab mengenai insiden ini. Hormati perasaan dan privasi keluarga Allahyarham serta elakkan sebarang spekulasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengelakkan sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

Beliau berkata, KPM bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memastikan keluarga Allahyarham menerima bantuan dan sokongan psikososial, khususnya membabitkan anak-anak dalam keluarga berkenaan yang masih bersekolah.

Tambah beliau, KPM akan terus memperkukuh Program Saringan Minda Sihat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kesejahteraan mental murid sentiasa diberikan perhatian.

“Saya ingin mengajak semua ibu bapa untuk terus mendekati anak-anak. Perhatikan perubahan emosi mereka, luangkan masa untuk mendengar dan pastikan mereka tahu bahawa mereka tidak perlu menghadapi kesukaran seorang diri,” katanya.

Malam tadi, Datuk Seri Fadhlina hadir ke Juasseh, Kuala Pilah, bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Saya berkesempatan bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham dan menyampaikan ucapan takziah secara peribadi. Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda tentunya amat berat untuk ditanggung oleh keluarga.

“Buat keluarga Allahyarham, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat besar ini. Kami akan terus bersama keluarga dalam memberikan sokongan yang diperlukan,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.