IPTS perlu pelbagaikan sumber pendapatan demi kelestarian kewangan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November – Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) perlu mempelbagaikan sumber pendapatan bagi memastikan kelestarian kewangan sektor berkenaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada yuran pengajian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran kewangan IPTS disebabkan kemasukan pelajar rendah dan peningkatan kos operasi.
  • Kebergantungan berlebihan pada yuran; dana endowmen, wakaf, zakat dan penyelidikan belum dimanfaatkan sepenuhnya.
  • Pelan pembangunan menggariskan diversifikasi pendapatan, pengukuhan endowmen dan kajian insentif cukai serta geran padanan.
  • Penekanan pada pembangunan graduan berkemahiran kritis, penyesuaian, etika, serta kepentingan TVET, penyelidikan dan pengkomersialan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu penting susulan cabaran kewangan yang dihadapi sebahagian IPTS, termasuk jumlah kemasukan pelajar yang rendah serta peningkatan kos operasi.

Beliau berkata, berdasarkan kajian pada 2025 yang melibatkan 388 IPTS, lebih 70 peratus institusi berkenaan mempunyai kurang daripada 1,000 pelajar, manakala 56.9 peratus daripadanya mencatatkan jumlah enrolmen kurang daripada 500 pelajar.

“Kajian turut menonjolkan kebergantungan berlebihan kepada hasil yuran pengajian, selain penggunaan dana endowmen, sumbangan derma, wakaf dan zakat yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, serta aktiviti penyelidikan yang terhad.

“Walaupun banyak universiti swasta kekal kukuh dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, sektor berkenaan tidak boleh terus bergantung kepada kenaikan yuran pengajian semata-mata bagi menampung peningkatan kos operasi.

“Sehubungan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia menggariskan keperluan mempelbagaikan sumber pendapatan, memperkukuh dana endowmen dan wakaf, memperluas sumbangan derma, mengkaji semula insentif cukai serta menyediakan geran padanan kepada institusi yang menubuhkan dana endowmen.

“Belanjawan 2027 turut menyediakan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi sumbangan kepada universiti awam.

“Bagi institusi swasta, kita perlu meneliti kaedah memperjelas dan memperkasakan pemberian yang diluluskan, dengan disokong oleh langkah perlindungan sewajarnya serta tadbir urus yang telus, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Biasiswa dan Anugerah Yayasan Jeffrey Cheah di sini, hari ini.

Mengulas hala tuju pendidikan negara, beliau berkata pembangunan graduan perlu memberi penekanan kepada kemahiran berfikir secara kritis, keupayaan menyesuaikan diri dan pertimbangan beretika, terutama dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta peralihan tenaga.

Sehubungan itu, beliau berkata peruntukan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), selain penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, penting dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pada majlis sama, Datuk Seri Fadillah turut menyampaikan penghargaan kepada penerima biasiswa dan mengingatkan mereka supaya memanfaatkan peluang pendidikan yang diterima serta menyumbang kembali kepada masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.