
KUALA LUMPUR, 19 November – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu bebas daripada sebarang pelanggaran integriti termasuk penyalahgunaan kuasa, manipulasi data dan kebocoran maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
- Kawalan etika dan pematuhan diperlukan untuk mengatasi risiko baharu daripada AI dan pendigitalan.
- Kegagalan kawalan boleh menggadai keselamatan maklumat serta kepentingan dan maruah pertahanan negara.
- Pelanggaran integriti melemahkan operasi, menyusahkan penggunaan sumber dan mengurangkan kesiagaan.
- MINDEF memperkukuh tadbir urus: penambahbaikan perolehan, mekanisme penilaian dan Sistem Aduan Integriti untuk laporan salah laku.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan turut mewujudkan risiko baharu yang memerlukan kawalan serta pematuhan etika lebih ketat dalam kalangan warga kementerian dan ATM.
Katanya, penyalahgunaan akses sistem, perkongsian maklumat tanpa kebenaran dan manipulasi data bukan sahaja menjejaskan keselamatan maklumat, malah boleh menggadaikan kepentingan pertahanan negara.
“Justeru, jangan biarkan kemajuan teknologi mendahului pertimbangan etika dan nilai integriti.
“Jangan sampai kemudahan yang sepatutnya memperkukuh pertahanan akhirnya menggadai kedaulatan dan maruah negara,” katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Datuk Seri Khaled berkata, penyalahgunaan kuasa bukan sahaja menjejaskan keupayaan operasi, malah dalam jangka panjang boleh melemahkan organisasi, mengurangkan keberkesanan penggunaan sumber serta menjejaskan kesiagaan pertahanan negara.
Katanya, integriti juga perlu diterapkan dalam perkara kecil termasuk disiplin waktu bekerja, pelaksanaan tugasan dan pengurusan aset pertahanan, tanpa mengira sama ada seseorang anggota dipantau pegawai atasan atau sebaliknya.
Beliau menegaskan, setiap peruntukan awam perlu diuruskan dengan betul, prosedur dipatuhi, maklumat dilindungi dan setiap operasi pertahanan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Dalam usaha memperkukuh tadbir urus, MINDEF turut melaksanakan penambahbaikan pengurusan perolehan termasuk keanggotaan Lembaga Perolehan dan jawatankuasa berkaitan serta mekanisme penilaian berdasarkan ketetapan Kementerian Kewangan.
Selain itu, kementerian melancarkan Sistem Aduan Integriti sebagai platform rasmi untuk menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan salah laku, ketirisan serta kelemahan integriti.