
KUALA LUMPUR, 19 November – Kerajaan mempertimbangkan penggunaan hidrogen kelabu sebagai bahan api peralihan bagi mempercepat pembangunan mobiliti hidrogen negara, susulan kos penghasilan hidrogen hijau yang masih tinggi.
- Pendekatan tertakluk kepada penilaian kecukupan bekalan domestik, keamatan karbon dan impak terhadap alam sekitar.
- Kos penghasilan dianggarkan: hidrogen hijau AS$8 hingga AS$10/kg; hidrogen kelabu kira-kira AS$2/kg.
- Kerajaan boleh meneliti insentif fiskal, pembangunan infrastruktur dan galakan penggunaan kenderaan FCEV untuk merangsang pasaran.
- FCEV tidak menghasilkan pelepasan karbon ekzos, hanya air; BEV sesuai penumpang dan jarak dekat, FCEV untuk pengangkutan berat dan jarak jauh.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, pendekatan itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian kecukupan bekalan domestik, keamatan karbon serta impak terhadap alam sekitar.
“Memandangkan kos hidrogen hijau masih tinggi sekarang, kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan hidrogen kelabu atau grey hydrogen sebagai bahan api peralihan, tertakluk kepada penilaian kecukupan bekalan, keamatan karbon dan impak alam sekitar,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya lagi, kos penghasilan hidrogen hijau dianggarkan antara AS$8 hingga AS$10 sekilogram, berbanding kira-kira AS$2 bagi hidrogen kelabu.
Dalam pada itu, Chang berkata kerajaan turut boleh meneliti pemberian insentif fiskal, pembangunan infrastruktur serta galakan penggunaan kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) bagi merangsang pasaran mobiliti hidrogen.
Menurutnya, penggunaan FCEV tidak menghasilkan pelepasan karbon di ekzos, sebaliknya hanya menghasilkan air sebagai produk sampingan.
Beliau turut menegaskan pembangunan mobiliti hidrogen bukan bertujuan bersaing dengan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV), sebaliknya kedua-dua teknologi itu mempunyai peranan berbeza dan saling melengkapi.
Katanya, BEV lebih sesuai untuk kenderaan penumpang serta perjalanan jarak dekat, manakala FCEV berpotensi memenuhi keperluan pengangkutan berat dan perjalanan jarak jauh.