
KUALA LUMPUR, 18 November- Kejayaan meledak hatrik ketika membantu Malaysia menewaskan Guam 10-0 dalam aksi Kumpulan E Piala Asia B-17 2027 menjadi suntikan semangat buat penyerang negara, Mohamad Fazryel Ashraf Zefri, menjelang pertemuan dengan India.
- Fazryel anggap prestasi belum sempurna namun bersyukur dapat membantu pasukan dan dedikasikan kejayaan kepada ibu bapa serta negara.
- Tekankan pemulihan fizikal termasuk waktu tidur dan pemakanan terjaga sebagai aspek penting dalam persiapan pasukan.
- Pasukan akan mematuhi perancangan jurulatih, berusaha laksanakan arahan, yakin mampu meraih kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya.
Beliau yang dinobat pemain terbaik perlawanan itu bagaimanapun menyifatkan prestasinya masih belum sempurna, meskipun bersyukur dapat membantu pasukan meraih keputusan positif.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Walaupun prestasi saya belum sempurna, saya bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar dan berjaya membantu pasukan.
“Kejayaan ini saya dedikasikan kepada ibu bapa, diri sendiri dan sudah tentu negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan ketiga Kumpulan E di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Mengulas persiapan menghadapi India, Mohamad Fazryel berkata pasukan perlu memberi perhatian kepada pemulihan fizikal selain mematuhi perancangan permainan yang ditetapkan barisan kejurulatihan.
“Dari segi fizikal, kami perlu memastikan waktu tidur dan pemakanan terjaga. Bagi menghadapi India, kami akan mematuhi perancangan permainan yang ditetapkan barisan kejurulatihan.
“Kami akan berusaha melaksanakan setiap arahan sebaik mungkin. Insya-Allah, kami yakin mampu meraih kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
Malaysia dijadual berdepan India dalam aksi terakhir Kumpulan E pada Jumaat ini yang bakal menjadi penentu peluang skuad negara untuk mara ke Piala Asia B-17 2027.