MOM zahir simpati, doakan Hafizuddin tabah

Muhammad Hafizuddin Roslin, 21, terlibat kemalangan jalan raya pada Isnin hingga mengakibatkan tangan kanannya terpaksa dipotong/ MSN

KUALA LUMPUR, 18 November- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mendoakan agar atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin tabah menghadapi dugaan susulan kemalangan motosikal yang mengakibatkan tangan kanannya terpaksa dipotong.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden MOM mendoakan agar atlet tabah serta yakin MSN, KBS dan pihak lain akan membela kebajikan beliau.
  • Mohamad Norza berharap skim insurans dan PERKESO di peringkat MSN dapat membantu menanggung rawatan serta pemulihan beliau.
  • Beliau pernah raih pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 serta rekod kebangsaan dan rekod Sukan Komanwel acara snatch.

Beliau turut yakin Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pelbagai pihak lain akan tampil membantu memastikan kebajikan atlet berusia 21 tahun itu terus terpelihara.

“Saya ingin menyuarakan rasa sedih dan berharap beliau serta keluarganya tabah menghadapi dugaan ini.

“Saya yakin dan percaya MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan pelbagai pihak lain akan membela beliau,” katanya.

Tan Sri Mohamad Norza berkata skim insurans dan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi MSN diharap dapat membantu Hafizuddin menghadapi situasi berkenaan.

“Saya baru sahaja dihubungi oleh Penolong Setiausaha Agung MOM. Kita amat sedih dan berdukacita kerana tangan beliau terpaksa dipotong.

“Saya berharap skim insurans dan skim PERKESO di peringkat MSN dapat membantu beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah SEBA ASEAN Elite Edition 2025/2026 di sini, malam tadi.

Terdahulu, Hafizuddin atau lebih dikenali sebagai Udin terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira 11.28 malam Isnin.

Kemalangan itu menyebabkan beliau mengalami patah tulang tangan kanan selain salur darah pada bahagian berkenaan tidak lagi berfungsi.

Majlis Sukan Negeri Perlis dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan Hafizuddin kini ditidurkan bagi membolehkan rawatan intensif diteruskan.

Atlet kelahiran Perlis itu meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Kejayaan itu turut menyaksikan beliau mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain rekod baharu Sukan Komanwel dalam kategori berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.