
MANILA, 18 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) memperkukuh pertahanan siber bagi menangani ancaman serangan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi melumpuhkan infrastruktur penting merentasi sempadan.
- Perkembangan AI mengubah landskap ekonomi dunia dengan pantas dan memberi alat lebih canggih kepada pihak lawan untuk melancarkan serangan siber.
- Gelombang serangan siber global menunjukkan norma bahaya baharu dan perlunya tadbir urus antarabangsa serta langkah perlindungan yang berkesan.
- PM menyeru pemimpin EAS memperbaharui komitmen terhadap forum sebagai platform dialog strategik dan memastikan saluran komunikasi kekal terbuka.
Beliau berkata perkembangan AI bukan sahaja mengubah landskap ekonomi dunia dengan pantas, malah menyediakan alat lebih canggih kepada pihak lawan untuk melancarkan serangan siber.
“Gelombang serangan siber yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini menggambarkan norma baharu yang berbahaya, sekali gus membuktikan bahawa usaha mengelakkan krisis pada masa hadapan memerlukan tadbir urus antarabangsa dan serantau yang mantap serta langkah perlindungan berkesan,” katanya pada mesyuarat EAS ke-21 di sini pada Selasa.
Teks ucapan Perdana Menteri, yang pulang seketika ke Kuala Lumpur untuk menyambut ketibaan Presiden Perancis Emmanuel Macron sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia, dibacakan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Anwar turut menyeru pemimpin EAS memperbaharui komitmen terhadap forum berkenaan sebagai platform dialog strategik, selain memastikan saluran komunikasi antara negara anggota kekal terbuka.