
KUALA LUMPUR, 17 November – Penyanyi terkenal tanah air, Ernie Zakri mencipta detik istimewa dalam perjalanan seninya apabila diberi penghormatan menyampaikan lagu klasik Perancis, ‘La Vie En Rose’ bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
- Penampilan Ernie pada jamuan rasmi anjuran Perdana Menteri sempena lawatan rasmi Presiden Perancis ke Malaysia.
- Kesempatan itu menonjolkan peranan seni dan muzik sebagai medium merapatkan hubungan budaya serta memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis.
- Ernie menyifatkan pengalaman itu amat bermakna, akan dikenang sepanjang hayat dan melahirkan rasa syukur atas kepercayaan diberikan.
- Penghormatan ini menjadi kebanggaan industri seni negara apabila bakat tempatan menyerlah dalam acara rasmi bertaraf antarabangsa.
Detik bermakna itu berlangsung pada majlis jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Perancis ke Malaysia.
Peluang berkenaan bukan sahaja menjadi penghormatan besar buat Ernie, malah memperlihatkan peranan seni dan muzik sebagai medium merapatkan hubungan budaya serta memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Perancis.
Menerusi perkongsian di media sosial, Ernie menyifatkan pengalaman itu sebagai detik amat bermakna yang akan dikenang sepanjang hayatnya.
“Peluang menyampaikan lagu ikonik itu di hadapan Presiden Perancis, selain berpeluang menyanyikannya bersama beliau, merupakan pengalaman luar biasa dalam perjalanan kerjaya seni saya,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa suara dan bakat seni Malaysia ke pentas berprestij berkenaan.
Penghormatan itu sekali gus menjadi kebanggaan industri seni tanah air apabila bakat tempatan diberi peluang menyerlah dalam acara rasmi bertaraf antarabangsa.
Detik istimewa itu membuktikan bahawa muzik mampu merentasi sempadan bahasa dan budaya, sekali gus menjadi penghubung yang mempererat hubungan antara dua negara.