
KUALA LUMPUR, 16 November – Karya Seniman Agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terus diangkat sebagai warisan seni yang menyatukan masyarakat pelbagai generasi menerusi Festival Nostalgia P. Ramlee oleh anjuran Hikayat Fandom.
- Festival Nostalgia P. Ramlee menampilkan pameran poster, penceritaan Nujum Pak Belalang dan persembahan lagu klasik seperti Getaran Jiwa dan Gelora Cinta.
- Pengunjung menikmati persembahan tarian joget, zapin dan twist serta pertandingan pakaian bertema P. Ramlee dan Saloma.
- Hikayat Fandom memeterai MoU penerbitan antarabangsa dan terbitkan antologi MOON LORE mempromosikan legenda serta cerita rakyat Melayu.
Festival yang berlangsung pada Sabtu lalu itu menghimpunkan pengunjung menerusi pelbagai aktiviti berasaskan filem, lagu dan watak ikonik seniman berkenaan.
Antara pengisian program ialah pameran poster filem klasik, persembahan penceritaan kisah Nujum Pak Belalang serta persembahan lagu popular seperti Getaran Jiwa, Tunggu Sekejap dan Gelora Cinta.
Pengunjung turut menyaksikan persembahan tarian joget, zapin dan twist oleh kumpulan Akar Seni Malaysia, selain menyertai pertandingan pakaian bertemakan P. Ramlee dan Saloma.
Wakil Hikayat Fandom, Ninot Aziz berkata, karya P. Ramlee masih mampu menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang melalui lagu dan penceritaan yang dekat dengan masyarakat.
Festival itu turut mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Arkib Negara Malaysia, selain sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dalam perkembangan lain, Hikayat Fandom memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) berkaitan hak penerbitan buku dengan penerbit dari Mesir, Filipina dan London pada Persidangan Penerbit Sharjah di Emiriah Arab Bersatu.
Kerjasama itu membuka peluang untuk memperkenalkan karya berkaitan sejarah, tradisi dan cerita rakyat Kepulauan Melayu kepada pembaca antarabangsa.
Penyertaan berkenaan adalah menerusi program Publishing Futures anjuran British Council dengan sokongan Publishers Without Borders.
Hikayat Fandom turut mengumumkan penerbitan antologi antarabangsa berjudul MOON LORE | Stories of the Lunar Universe yang menghimpunkan karya penulis dari 18 negara.
Antologi yang disunting Ninot Aziz dan Johnny Gillett itu memaparkan legenda serta cerita rakyat pelbagai budaya mengenai Bulan.
Sementara itu, Festival Penglipur Lara turut berlangsung dari 14 November hingga 26 Disember ini dengan sokongan Yayasan Hasanah menerusi geran ArtsFAS.