
KUALA LUMPUR, 16 November – Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk berada sebaris dengan personaliti radio terkemuka negara, namun pengiktirafan menerusi senarai Top 10 Malaysian Radio Personalities membuktikan usaha dan komitmen penyampai radio Radio Televisyen Malaysia (RTM), NasionalFM DJ Sonic Hussien, atau nama sebenarnya Awang Suffian Awang Hussein, selama ini turut mendapat perhatian pihak luar.
- Kuasa ilmu, kepekaan semasa dan keunikan personaliti, berserta penggunaan bahasa Melayu tepat dan memahami batas siaran untuk kekal relevan.
- Reaksi pendengar terhadap gurauan mahu undur dari 3 Suara menyentuh hati, menzahirkan hubungan erat konti dan pendengar.
- Pencalonan ABPBH berterusan, sokongan Sonic Rangers dan pesan arwah bapa menjadi sumber kekuatan serta pembakar semangatnya.
Sonic berkata, pengiktirafan berdasarkan kajian yang dijalankan Research House of Asia itu hadir di luar jangkaannya, apatah lagi selepas menerima makluman awal daripada pihak penyelidik berkenaan yang disangkakan sekadar gurauan.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana pencapaian itu membuktikan penyampai radio RTM juga mampu mendapat pengiktirafan dalam industri penyiaran yang semakin kompetitif.
“Tidak sangka, daripada beribu-ribu penyampai radio di Malaysia, nama saya turut tersenarai. Pada mulanya, pihak Research House of Asia (RHA) menghubungi saya mengenai perkara itu, tetapi saya ingatkan mereka sekadar bergurau.
“Apabila mengetahui perkara itu benar, saya benar-benar tidak terkata. Alhamdulillah, segala penat lelah selama ini akhirnya turut mendapat perhatian pihak luar. Ini juga membuktikan penyampai radio RTM mampu berada dalam senarai berkenaan,” katanya ketika ditemui RTM.
Mengulas mengenai keperluan seseorang penyampai radio untuk terus relevan, Sonic berpendapat penguasaan ilmu, kepekaan terhadap perkembangan semasa serta keunikan personaliti menjadi antara elemen penting dalam membina hubungan berpanjangan dengan pendengar.
Katanya, penyampai radio juga perlu memahami batas ketika bersiaran selain mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang betul sebagai sebahagian daripada identiti dan tanggungjawab dalam penyampaian.
“Seorang penyampai perlu berilmu dan mempunyai keunikan tersendiri. Kita kena bijak serta sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekeliling.
“Selain tahu perkara yang boleh dan tidak boleh diperkatakan ketika ke udara, penggunaan bahasa Melayu yang betul juga boleh menjadi keunikan seseorang penyampai. Paling penting, jadilah diri sendiri dan jika boleh, bawalah budaya kita dalam setiap penyampaian,” katanya.
Dalam pada itu, Sonic turut berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila pernah berseloroh dengan pendengar mengenai hasrat untuk mengundurkan diri daripada segmen 3 Suara yang dikendalikan bersama DJ Dyya Nawai dan DJ Nazrie.
Namun, reaksi luar jangka pendengar yang tidak mahu beliau meninggalkan segmen berkenaan membuatkannya tersentuh, sekali gus menyedari betapa eratnya hubungan yang telah dibina sepanjang berada di konti.
“Pernah satu ketika saya menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada 3 Suara kerana saya fikir mungkin sudah tiba masanya memberi peluang kepada orang baharu.
“Tetapi apabila saya berseloroh mengenai perkara itu ketika ke udara, saya tidak sangka reaksi pendengar begitu luar biasa. Ada yang mengatakan mahu memboikot, malah ada yang sanggup menulis surat kepada pihak pengurusan supaya saya tidak berhenti. Saya benar-benar terharu,” katanya.

Menyentuh pencalonan keempat berturut-turut dalam kategori Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-38 (ABPBH38), Sonic menyifatkan format pemarkahan yang menggabungkan 70 peratus undian peminat dan 30 peratus penilaian juri sebagai pendekatan lebih menyeluruh dalam menilai komitmen serta sumbangan setiap calon.
“Pengundian kali ini agak berbeza dengan adanya 30 peratus penilaian juri, saya yakin komitmen yang diberikan sepanjang menjalankan tugas turut menjadi antara aspek yang dinilai.
“Saya juga masih mempunyai Sonic Rangers yang sentiasa berada di belakang saya sejak tiga tahun lalu. Malah, ada peminat yang mengambil inisiatif menyusun strategi menggabungkan undian saya dengan Que Haidar. Saya sendiri tidak menjangkakan usaha seperti itu dan amat menghargai sokongan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik perjalanan yang masih diteruskan dalam memburu pengiktirafan itu, Sonic mengakui ada satu insan yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan paling mengharapkan kejayaannya, iaitu Allahyarham bapanya.
Mengimbau kembali pencalonan pertamanya pada 2023, Sonic berkata arwah bapanya bukan sahaja menjadi penyokong utama, malah turut aktif membantu kempen dengan menghasilkan poster serta berkongsi pautan undian dalam kumpulan keluarga dan media sosial.
Katanya, kejayaan membawa nama anak kelahiran Kapit, Sarawak itu ke kelompok lima terbaik ketika itu menjadi kebanggaan besar buat bapanya yang sentiasa mengingatkan supaya tidak berputus asa meskipun belum berjaya membawa pulang kemenangan.
Kehilangan insan tersayang itu pada 2024 bagaimanapun meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila beliau sekali lagi tidak memperoleh kemenangan pada edisi berkenaan.
Namun, pesanan arwah bapanya bahawa peluang untuk berjaya pasti akan tiba terus menjadi pegangan dan pembakar semangatnya sehingga kini.
“Bapa saya orang pertama yang benar-benar mahu saya menang. Pada pencalonan pertama 2023, arwah sendiri buat poster kempen dan berkongsi setiap hari di Facebook, termasuk dalam kumpulan keluarga.
“Bila saya tidak menang, arwah selalu pujuk dan kata tidak mengapa, kita cuba lagi sampai berjaya. Arwah selalu ingatkan, Allah belum izinkan lagi, tetapi masa itu akan tiba.
“Bapa meninggal dunia pada 2024. Kehilangan itu memang memberi kesan besar kepada saya. Apabila saya masih belum berjaya pada tahun-tahun berikutnya, saya tetap ingat pesanan arwah.
“Jadi, untuk 2026 ini saya akan terus berusaha. Saya berpegang pada kata-kata bapa, masa itu akan tiba. Insya-Allah,” katanya dengan nada sebak.
Bagi Sonic, perjalanan dalam ABPBH bukan sekadar mengejar sebuah trofi, sebaliknya turut membawa harapan dan kenangan insan yang pernah menjadi penyokong terawal dalam perjalanan seninya.
Selain Sonic, nama besar lain yang berada dalam kelompok Penyampai Radio Popular ialah Ag Azmeer, Ajak Shiro, Dina Nadzir, Fizi Ali, Haiza, Hefny Sahad, Issey Fazlisham, Radin dan Sharifah Shahira.
ABPBH 38 bertemakan ‘Kitalah Bintang’ tahun ini mempertandingkan 21 kategori, termasuk lima kategori yang dinaik taraf daripada kelompok sampingan kepada kategori utama.
Undian bagi kesemua kategori dibuka sejak tengah malam tadi, 16 November hingga 6 Disember menerusi laman sesawang rasmi https://vote.tonton.com.my/abpbh38.
Acara kemuncak anugerah berkenaan dijadual berlangsung pada 12 Disember depan di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam.