Skim perubatan MADANI tidak diteruskan 2027, KKM perkukuh pengurusan NCD

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 November – Pelaksanaan Skim Perubatan MADANI (SPM) yang menyediakan rawatan bagi penyakit akut kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di klinik swasta berjaya membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan sejak diperkenalkan pada 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memutuskan SPM tidak diteruskan pada 2027.
  • SPM diselaraskan dengan PeKa B40 untuk menumpukan pengukuhan pengurusan penyakit tidak berjangkit melalui RMK13.
  • Fokus pada penilaian kesihatan menyeluruh termasuk diabetes, hipertensi dan paras kolesterol bagi penjagaan berasaskan nilai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, susulan pencapaian matlamat asal skim berkenaan sebagai inisiatif jangka pendek, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaannya pada 2027.

Sebaliknya, skim itu akan diselaraskan dengan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi memberi tumpuan kepada pengukuhan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“SPM ini telah diselaraskan dengan PeKa B40 bagi memastikan rawatan kes akut seperti batuk, selesema dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) terus dapat diberikan. Namun, perkara yang lebih penting ialah memastikan tahap kesihatan rakyat turut diberi perhatian apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta.

“Pesakit bukan hanya dinilai berdasarkan gejala yang dialami seperti batuk, sebaliknya tahap kesihatan mereka secara keseluruhan turut perlu diperiksa, termasuk penyakit diabetes, hipertensi dan paras kolesterol. Inilah hala tuju kita ke arah mewujudkan sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan KKM di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.

Setakat 31 Oktober 2026, SPM telah menyediakan 994,918 rawatan kepada 671,573 pesakit menerusi 1,166 klinik swasta di 10 daerah rintis.

Daripada jumlah itu, sebanyak 69 peratus pesakit berjaya dirawat sepenuhnya di peringkat penjagaan primer tanpa memerlukan rujukan lanjut ke fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.