MSN pastikan kebajikan Hafizuddin terpelihara hingga sembuh

Muhammad Hafizuddin Roslin atau lebih mesra disapa Udin cedera parah selepas kemalangan di Lebuhraya SUKE semalam

KUALA LUMPUR, 17 November – Majlis Sukan Negara (MSN) komited memastikan kebajikan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin terus terpelihara selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya SUKE, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atlet kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan dipantau rapi oleh pasukan perubatan.
  • Pengurus Sukan MSN hadir ke HKL untuk mendapatkan perkembangan serta memastikan kebajikan diberi perhatian.
  • Hafizuddin mengalami kecederaan serius pada kaki, bahu, kepala dan hematoma bahu kanan; MSN mendoakan kesembuhan.

Komitmen itu dizahirkan menerusi penyediaan perkhidmatan dan sokongan terbaik sepanjang tempoh rawatan serta pemulihannya.

MSN memaklumkan ia bagi memastikan Hafizuddin mendapat penjagaan sewajarnya dan peluang terbaik untuk sembuh seperti sediakala.

MSN dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 8 pagi hari ini.

“Atlet Program Podium itu kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan.

“Sejurus menerima maklumat berkenaan, Pengurus Sukan MSN telah hadir ke HKL bagi mendapatkan perkembangan terkini atlet serta memastikan kebajikannya diberi perhatian sewajarnya,” menurut kenyataan itu hari ini.

Hafizuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Udin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya SUKE kira-kira 11 malam tadi.

Dalam kejadian itu, Hafizuddin mengalami kecederaan fizikal serius membabitkan bahagian kaki, bahu dan kepala, selain komplikasi hematoma di bahu kanan berdasarkan pemeriksaan awal.

Hafizuddin sebelum ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan keseluruhan 345 kilogram.

Beliau turut mencipta rekod kebangsaan baharu acara snatch menerusi angkatan 162 kilogram, selain melakar rekod baharu temasya Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.

“MSN turut mendoakan agar Hafizuddin diberikan kekuatan dan ketabahan, dipermudahkan segala urusan rawatan serta pembedahan dan dikurniakan kesembuhan agar dapat kembali pulih seperti sediakala,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.