
KUALA LUMPUR, 17 November – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus membuka ruang kerjasama dengan media antarabangsa sebagai antara strategi memperkukuh integrasi serantau serta memacu perkembangan industri penyiaran negara.
- RTM dan Universitas Nasional jalin kerjasama strategik meneroka peluang kolaborasi dalam bidang media.
- Ketua Pengarah tekankan pentingnya memanfaatkan media awam, swasta dan media baharu serta kreativiti pencipta kandungan.
- Kerjasama disokong untuk memajukan industri media dan membendung penyebaran maklumat palsu.
- Delegasi pelajar dan pengajar menerima pendedahan cabaran industri dan melawat bahagian RTM untuk memahami operasi penyiaran.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, kolaborasi itu berpotensi memacu peranan media tempatan sebagai platform yang dekat dengan masyarakat ‘home media’ atau ‘newest media’, selain memanfaatkan pendekatan dan amalan terbaik industri media antarabangsa.
“Pemain industri perlu melihat perkembangan penyiaran awam, swasta serta media baharu, termasuk penggunaan kandungan audio siar dan kreativiti pencipta kandungan bagi memenuhi keperluan penonton dan pendengar,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Wacana bersama Delegasi Universitas Nasional (UNAS), Jakarta, Indonesia, di Menara Angkasapuri, hari ini.
Program yang membabitkan delegasi pelajar dan tenaga pengajar UNAS itu bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik antara RTM dengan institusi pengajian tinggi berkenaan dalam bidang media.
Ketua Delegasi merangkap Setiausaha Bahagian Komunikasi Fakulti Sosial dan Politik UNAS, Cyntia Dewi Anggraini berkata, pihaknya menyambut baik keterbukaan RTM untuk menjalin kerjasama.
“Sesi ini amat menarik kerana membuka peluang kepada kita untuk bersama-sama memajukan industri media ke arah media yang bebas daripada penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Sementara itu, pelajar jurusan Ilmu Komunikasi UNAS, Banjar Kaspaya berkata, sesi wacana itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cabaran sebenar yang dihadapi industri media.
“Kami memperoleh banyak ilmu daripada perkongsian Datuk Ashwad mengenai cabaran dalam industri media. Perkongsian ini turut menjadi motivasi kepada kami untuk bersama-sama menghadapi cabaran dan mengembangkan kerjaya dalam bidang media,” kata Banjar.
Sesi berkenaan turut disusuli lawatan delegasi UNAS ke beberapa bahagian di RTM bagi memberikan gambaran mengenai operasi dan perkembangan industri penyiaran negara.