
KUALA LUMPUR, 17 November – Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Warga Emas disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi kedua tahun depan, selepas mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri.
- RUU akan dibawa kepada Peguam Negara sebelum diadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
- Sesi libat urus dirancang dengan pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan negeri untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak.
- RUU dimuktamadkan untuk memperkukuh perlindungan warga emas daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan akan meneruskan proses memuktamadkan RUU berkenaan sebelum dibawa ke Parlimen, dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
“Saya baru membentangkan perkara ini di Kabinet untuk mendapatkan kelulusan dasar bagi meneruskan RUU berkenaan dan ia telah diluluskan. Langkah seterusnya ialah membawanya semula kepada Peguam Negara sebelum mengadakan sesi libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Lembaga Pelawat Institusi Kebajikan Masyarakat Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan mengambil kira tempoh serta proses yang diperlukan bagi memastikan RUU berkenaan dapat dibentangkan di Parlimen mengikut sasaran ditetapkan.
“Kita menyasarkan RUU ini dapat dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada sesi kedua tahun depan. Jika dapat dibentangkan pada sesi pertama, itu lebih baik, namun kita berpandangan tempoh berkenaan mungkin tidak mencukupi,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan bahawa RUU berkenaan masih dalam proses pemuktamadan, dengan matlamat memperkukuh perlindungan warga emas daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.