KKM peroleh 989 ambulans baharu, pembekal dimuktamad Disember ini


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 November – Perolehan 989 unit ambulans baharu oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kini berada di peringkat akhir, dengan pelantikan syarikat pembekal dijangka dimuktamadkan pada Disember 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan baharu dilancar selepas pembekal terdahulu gagal penuhi kontrak 2022, hanya 115 daripada 590 ambulans diserahkan sebelum November 2024.
  • KKM melantik enam syarikat sebagai pemenang perolehan untuk elakkan pergantungan kepada satu pembekal dan kongsi kemakmuran.
  • Kerajaan luluskan tambahan 400 unit di bawah Belanjawan 2027, menjadikan keseluruhan 1,389 unit untuk atasi kekurangan dan tingkatkan respons kecemasan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan melaksanakan perolehan baharu itu dibuat susulan kegagalan syarikat pembekal terdahulu memenuhi komitmen kontrak yang dianugerahkan pada 2022.

Menerusi kontrak berkenaan, KKM sepatutnya menerima 590 unit ambulans selewat-lewatnya pada penghujung 2024. Bagaimanapun, hanya 115 unit berjaya dibekalkan sebelum kontrak berakhir pada November 2024.

“Kita tidak bersetuju dengan pendekatan yang hanya memberikan kemenangan kepada satu pihak. Itu pendekatan lama. Sebaliknya, kita mahu memastikan kemakmuran dapat dikongsi bersama. Sebab itu, kita menetapkan enam syarikat sebagai pemenang bagi perolehan ini.

“Langkah ini penting bagi memastikan kita tidak terlalu bergantung kepada satu syarikat sahaja. Kita tidak mahu meletakkan semua telur dalam satu bakul,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Kerajaan turut meluluskan peruntukan bagi perolehan tambahan 400 unit ambulans di bawah Belanjawan 2027, menjadikan keseluruhan 1,389 unit ambulans baharu yang bakal diterima KKM,” tambahnya.

Jumlah itu dijangka membantu menangani kekurangan ambulans ketika ini, selain meningkatkan keupayaan perkhidmatan respons kecemasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.