Harimau Malaya tutup tirai benam Yaman 2-1

Harimau Malaya menutup tirai aksi 2026 dengan kemenangan benam pasukan Yaman di China hari ini/Foto FAM

KUALA LUMPUR, 17 November – Harimau Malaya menutup tirai aksi antarabangsa 2026 dengan kemenangan 2-1 ke atas Yaman dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Richard Chin meledak kedua-dua gol, gol pertamanya bersama Harimau Malaya sejak penampilan antarabangsa September tahun lalu.
  • Kemenangan beri suntikan moral menjelang Kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032.
  • Tan Cheng Hoe buat empat perubahan termasuk menggugurkan Fergus Tierney yang digantung selepas kad merah.
  • Bermula agresif, gol pembukaan pada minit keenam hasil rembatan Richard selepas penjaga gol Yaman gagal menahan hantaran lintang.

Tonggak warisan, Richard Chin muncul watak utama apabila meledak kedua-dua gol negara, sekali gus menghadiahkan kemenangan selepas Malaysia tewas 0-2 kepada China, PADA Sabtu lalu.

Lebih bermakna, dua jaringan itu merupakan gol pertama pemain kelab Scotland, Ross County bersama Harimau Malaya sejak penampilan antarabangsanya pada September tahun lalu.

Kemenangan ke atas Yaman yang berada di ranking ke-145 dunia turut memberi suntikan moral kepada skuad negara menjelang cabaran Kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032 tahun depan.

Dalam aksi berkenaan, pengendali interim, Tan Cheng Hoe membuat empat perubahan dalam kesebelasan utama berbanding perlawanan menentang China.

Perubahan itu termasuk menggugurkan Fergus Tierney yang digantung selepas dilayangkan kad merah.

Malaysia yang berada di ranking ke-135 dunia bermula agresif dan memperoleh gol pembukaan seawal minit keenam menerusi Richard.

Jaringan itu terhasil selepas penjaga gol Yaman, Abdul Hakim Hasan gagal menangkap kemas hantaran lintang Safwan Mazlan, sebelum Richard menyudahkan bola muntah dengan rembatan ke gawang.

Memasuki babak kedua, Cheng Hoe memperkukuh jentera serangan dengan memasukkan Syafiq Ahmad, selain Rodney Calvin di bahagian pertahanan.

Penyerang naturalisasi, Romel Morales hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-56, namun percubaannya berjaya dinafikan Abdul Hakim.

Bagaimanapun, Richard sekali lagi menghukum kesilapan penjaga gol Yaman apabila menyambar bola yang gagal ditangkap kemas untuk meledak gol kedua Malaysia pada minit ke-57.

Yaman yang dibimbing Noureddine Ould Ali merapatkan jurang pada minit ke-78 menerusi tandukan pemain gantian, Rauf Mohamed Al-Sheraji.

Walaupun Haziq Nadzli berjaya menghalang percubaan itu, bola terkena kakinya sebelum bergolek masuk ke gawang.

Richard hampir melengkapkan hatrik pada penghujung perlawanan menerusi rembatan kencang yang sedikit tersasar, namun keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen antarabangsa tahun ini dengan rekod enam kemenangan daripada 12 aksi kompetitif, termasuk perlawanan hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.