Supertele Pasongan bawa kisah perpaduan era 1937 ke panggung RTM

Supertele terbaharu terbitan Unit Drama TV RTM, Pasongan

KUALA LUMPUR, 17 November – Supertele terbaharu terbitan Unit Drama TV RTM berjudul Pasongan, yang mengetengahkan genre thriller berlatarbelakangkan era 1937, bakal menemui penonton menerusi Panggung RTM di TV1 dan platform RTMKlik pada 28 November ini, pukul 9 malam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nilai tanggungjawab dan kepentingan perpaduan dalam masyarakat majmuk jadi teras cerita, seperti dinyatakan pengarah Danny Alamsyah Adriansyah.
  • Penulisan berkonsep chamber piece pada satu lokasi membentuk cabaran besar, memerlukan kekuatan barisan pelakon untuk menghidupkan dinamika penceritaan.
  • Berlatar era 1937 eksploitasi lombong bijih besi British, cerita memaparkan perjalanan terhenti, konflik penyamaran, dan penggunaan Melayu Jawa serta Inggeris.

Naskhah berdurasi dua jam itu diarahkan dan diterbitkan oleh Danny Alamsyah Adriansyah, pemenang kategori Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, dengan mengetengahkan nilai tanggungjawab serta kepentingan perpaduan dalam masyarakat majmuk.

“judul Pasongan merujuk kepada tanggungjawab dan beban yang dipikul setiap watak, sekali gus melambangkan peranan anggota masyarakat dalam membentuk perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Pratonton Panggung RTM Pasongan di Wisma TV, Angkasapuri, hari ini.

Mengulas cabaran pembikinan karya itu, Danny menyifatkan penulisan skrip berkonsepkan chamber piece yang berlatarkan satu lokasi terhad sebagai cabaran utama.

“Konsep berkenaan menjadikan peralihan babak lebih mencabar berbanding drama biasa, sekali gus memerlukan kekuatan barisan pelakon untuk menghidupkan dinamika penceritaan,” jelasnya.

Berlatarbelakangkan era eksploitasi lombong bijih besi oleh British di Tanah Melayu, Pasongan mengisahkan misi Nong Sani, lakonan Beto Kusyairy, membawa seorang banduan wanita misteri bernama Melati, lakonan Nabila Huda, dari Johor untuk dibicarakan di Mahkamah Negeri-Negeri Selat.

Namun, perjalanan mereka tergendala akibat cuaca buruk, menyebabkan mereka terpaksa berlindung di sebuah rumah pemburu terpencil. Di situ, mereka terjerat dalam konflik penyamaran dan saling mencurigai bersama penghuni serta tetamu lain.

Keunikan supertele itu turut terserlah menerusi penggunaan tiga bahasa, iaitu Melayu, Jawa dan Inggeris bagi menggambarkan realiti sosiopolitik pada era penjajahan.

Selain Nabila Huda dan Beto Kusyairy, karya itu turut dibintangi Khir Rahman sebagai Lela, Akmal Ahmad sebagai Wadi, Khai Sabri sebagai Puteh, Aloeng Silalahi sebagai Jumadi serta Geoff Andre Feyaerts sebagai Mr. Callaghan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.