Malaysia-Perancis perkukuh kerjasama pertahanan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyaksikan pertukaran MoU antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) dan Menteri Angkatan Tentera serta Veteran Perancis, Catherine Vautrin (dua, kiri) di Bangunan Sultan Abdul Samad, hari ini./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November – Malaysia dan Perancis komited memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan menerusi pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran serta latihan bagi meningkatkan keupayaan dan kepakaran tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dan Perancis komited memperkukuh kerjasama pertahanan melalui pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan untuk mempertingkat keupayaan tempatan.
  • Tujuh dokumen termasuk Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala dan Kerjasama Industri Pertahanan dimeterai untuk memperkukuh kolaborasi.
  • Surat Hasrat menyokong penubuhan Pusat Serantau Memerangi Ancaman Hibrid serta perolehan helikopter tempur, mencari dan menyelamat TUDM dimeterai.
  • Kerjasama turut meliputi peralihan tenaga, mineral kritikal dan projek kabel dasar laut SALAM bagi memperluas hubungan dua hala serta pembangunan kapasiti tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan Perancis untuk bekerjasama dalam aspek berkenaan merupakan perkembangan positif yang mampu memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Menurut Datuk Seri Anwar, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan Malaysia turut memperoleh manfaat daripada perkongsian kepakaran dan teknologi, selain meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan.

“Kesediaan untuk bekerjasama dalam pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan supaya kita mendapat manfaat,” katanya pada sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron selepas majlis pertukaran tujuh dokumen persefahaman dan kerjasama antara Malaysia dan Perancis, di sini.

Antara dokumen yang dimeterai ialah Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala dan Kerjasama Industri Pertahanan, selain Perjanjian Keselamatan yang disemak semula berkaitan dokumen terperingkat dalam kerjasama pertahanan.

Turut dimeterai ialah Surat Hasrat bagi menyokong penubuhan dan pembangunan Pusat Serantau Memerangi Ancaman Hibrid (RC-SHIELD), serta Surat Hasrat berkaitan perolehan helikopter tempur, mencari dan menyelamat untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi Fasa Satu.

Dokumen berkenaan ditandatangani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Angkatan Tentera dan Hal Ehwal Veteran Perancis, Catherine Vautrin, manakala Surat Hasrat perolehan helikopter turut melibatkan Ketua Wilayah APAC Airbus Helicopters, Vincent Dubrule.

Selain sektor pertahanan, kedua-dua negara turut memperkukuh kerjasama dalam peralihan tenaga dan mineral kritikal menerusi dua memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai.

Kerjasama peralihan tenaga melibatkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Delegasi bagi Industri Perancis, Sébastien Martin.

MoU berkaitan mineral kritikal pula dimeterai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh bersama Martin.

Satu lagi dokumen membabitkan kerjasama strategik bagi pembangunan dan pelaksanaan Projek SALAM, yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif LitUp Network Sdn Bhd, Rozaimy Rahman dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Alcatel Submarine Networks, Alain Biston.

Datuk Seri Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia dan Perancis perlu terus bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Beliau juga memaklumkan bahawa potensi Malaysia sebagai pangkalan bagi rantau ASEAN turut dibincangkan bersama Macron, termasuk dalam konteks memperluas kerjasama strategik kedua-dua negara.

Perkembangan itu mencerminkan komitmen Malaysia dan Perancis untuk memperluas hubungan dua hala merangkumi sektor pertahanan, tenaga, mineral kritikal dan teknologi, dengan penekanan terhadap perkongsian kepakaran serta pembangunan keupayaan tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.