Britain lebih banyak tanggung kerugian sejak Brexit

Pendekatan Brexit secara menyeluruh yang dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan Konservatif sebagai tidak memadai untuk kepentingan negara/Foto AFP

LONDON, 17 November – Perdana Menteri Britain, Andy Burnham pada Isnin berkata negara itu mengalami lebih banyak kerugian berbanding keuntungan sejak Brexit, selain mengakui Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dalam keadaan hubungan yang tegang dan kurang baik, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Brexit memulakan kecenderungan global ke arah pengasingan dan perlindungan perdagangan.
  • Pendekatan menyeluruh kerajaan Konservatif dinilai tidak memadai bagi kepentingan negara.
  • Keadaan seperti dikehendaki musuh luar; Rusia mahu perpecahan NATO dan Eropah lemah untuk menjejaskan Ukraine.
  • Kedudukan antarabangsa Britain merosot; masa sesuai untuk rangka pendekatan baharu dan capai perjanjian saling menguntungkan dengan EU.

“Mengimbas kembali, Brexit merupakan titik permulaan kepada kecenderungan global ke arah dasar pengasingan dan perlindungan perdagangan,” kata Burnham ketika berucap pada Majlis Jamuan Lord Mayor di London.

Beliau berkata Britain tidak mampu mengharungi satu lagi dekad seperti 10 tahun yang lalu, sambil menyifatkan pendekatan Brexit secara menyeluruh yang dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan Konservatif sebagai tidak memadai untuk kepentingan negara itu.

“Perkara paling menyedihkan ialah keadaan ini sebenarnya seperti yang dikehendaki musuh kita.

“Rusia mahukan perpecahan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Eropah yang lebih lemah serta kurang berupaya menghalang rancangannya terhadap Ukraine,” katanya.

Burnham berkata kedudukan Britain di peringkat antarabangsa semakin merosot sejak Brexit, justeru kini merupakan masa yang sesuai untuk negara itu menggariskan pendekatan baharu.

“Dunia telah berubah sejak 2016. Pada tahun itu, bergerak secara bersendirian kelihatan lebih mudah, namun keadaan kini tidak lagi sedemikian,” kata beliau.

Kenyataan itu dibuat menjelang sidang kemuncak EU-Britain yang dijadual berlangsung di Brussels pada Jumaat.

Sebelum ini, Burnham menyatakan keyakinan bahawa perjanjian yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dapat dicapai bersama EU pada sidang kemuncak berkenaan.-BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.