
KUALA LUMPUR, 17 November – Pelaksanaan kawalan dan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) yang lebih ketat oleh Amerika Syarikat (AS) berisiko melambatkan pembangunan fasa baharu pusat data di Malaysia.
- Pengendali bergantung pada pelanggan AI dari China atau GPU-as-a-Service tidak telus akan hadapi proses pelesenan dan pengesahan pelanggan lebih lama.
- Kesan awal tertumpu kepada penggunaan GPU dan pengaktifan kapasiti pusat data; pembinaan terjejas hanya jika kelewatan menjejaskan komitmen penyewa.
- Kampus pusat data kendalian sendiri dan untuk hyperscaler AS yang sudah kukuh dijangka lebih bersedia memenuhi keperluan baharu.
MBSB Research dalam nota penyelidikannya memaklumkan, kesan langkah itu dijangka lebih ketara terhadap pengendali pusat data yang bergantung kepada pelanggan AI dari China atau menawarkan perkhidmatan penyewaan kuasa pemprosesan grafik (GPU) yang kurang telus dari segi pemilikan dan penggunaannya.
“Kemudahan yang bergantung kepada pelanggan kecerdasan buatan (AI) dari China atau aturan perkhidmatan GPU-as-a-Service yang kurang telus mungkin berdepan proses pelesenan dan pengesahan pelanggan yang lebih panjang,
“Kesan awal dijangka tertumpu kepada penggunaan GPU dan pengaktifan kapasiti pusat data. Bagaimanapun, permintaan terhadap pembinaan hanya akan terjejas sekiranya kelewatan itu melemahkan komitmen penyewa atau menangguhkan fasa pengembangan seterusnya,” menurut firma itu.
Dalam pada itu, kampus pusat data yang dikendalikan sendiri dan berkhidmat kepada penyedia perkhidmatan awan berskala besar (hyperscaler) AS yang sudah mempunyai operasi kukuh dijangka lebih bersedia memenuhi keperluan baharu berkenaan.
Dari segi pendedahan kontraktor, Sunway Construction (SunCon) dianggarkan mempunyai baki kerja pusat data bernilai RM10.5 bilion hingga RM11 bilion, bersamaan 78 hingga 82 peratus daripada keseluruhan buku pesanannya sebanyak RM13.4 bilion.
Pelanggan SunCon kebanyakannya terdiri daripada syarikat teknologi utama AS, selain K2 yang berpangkalan di Singapura.
Sementara itu, IJM Corporation mempunyai baki kerja pusat data dianggarkan RM1.8 bilion hingga RM2.2 bilion, bersamaan 12 hingga 15 peratus daripada buku pesanannya sebanyak RM14.5 bilion, dengan projek berkaitan Google di Elmina membentuk sebahagian besar pendedahan berkenaan.
Kerjaya Prospek Group pula mempunyai projek pusat data sulung bernilai RM858 juta yang sebahagian besarnya belum dibilkan, mewakili 12 hingga 14 peratus daripada baki buku pesanannya sebanyak RM6 bilion.