
BEIJING, 17 November – Pemimpin China, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) dijadualkan membincangkan isu keamanan dunia dalam sidang kemuncak tiga hala pertama antara ketiga-tiga negara itu di Shenzhen, China, minggu ini.
- Pertemuan memberi tumpuan kepada pelucutan senjata nuklear, membincangkan perjanjian melibatkan China dan usaha mengurangkan ketegangan global.
- Beijing menegaskan AS dan Rusia perlu mengurangkan simpanan nuklear jauh lebih besar sebelum China sertai rundingan.
- Isu Iran dan Ukraine dijangka dibincangkan; Kiev bimbang diketepikan sementara Putin dikatakan ingin rundingan menguntungkan Moscow.
Presiden China, Xi Jinping, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden AS, Donald Trump dijadualkan mengadakan pertemuan pada Khamis, di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Perkembangan itu disahkan Beijing pada Isnin, namun China masih belum memperincikan agenda perbincangan ketiga-tiga pemimpin berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada pertukaran pandangan secara mendalam mengenai usaha memelihara keamanan dunia dan menggalakkan kestabilan strategik dalam hubungan antara kuasa besar.
Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai satu perkembangan yang mempunyai kepentingan besar.
Sementara itu, Trump berkata, ketiga-tiga pemimpin turut dijangka membincangkan isu sukar berkaitan pelucutan senjata nuklear serta konflik di Iran dan Ukraine.
“Kita juga akan membincangkan isu ekonomi dan perdagangan,” katanya kepada pemberita ketika berlepas dari White House.
Kremlin pula menyifatkan kepentingan dan simbolik pertemuan itu sebagai sesuatu yang sukar dipandang ringan.
Washington yang bimbang dengan perkembangan pesat keupayaan senjata nuklear China mahu Beijing turut menyertai perjanjian kawalan senjata nuklear.
Bagaimanapun, Beijing sekian lama berpendirian bahawa AS dan Rusia perlu mengurangkan jumlah senjata nuklear masing-masing yang jauh lebih besar sebelum China bersetuju menyertai rundingan berkaitan simpanan senjata nuklearnya.
Susulan tamatnya perjanjian dua hala AS-Rusia mengenai senjata nuklear pada Februari lalu, Trump menggesa supaya satu perjanjian lebih baik dimeterai dengan turut melibatkan China.
Namun, Beijing sebelum ini menolak untuk menyertai rundingan pelucutan senjata berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, diplomat tertinggi China, Wang Yi dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dilaporkan bersetuju mengenai kepentingan perbincangan bermakna pada peringkat pemimpin bagi mencapai matlamat seperti keamanan dan pelucutan senjata nuklear.
Jabatan Negara AS memaklumkan perkara itu susulan perbualan telefon antara kedua-dua pegawai berkenaan minggu ini.
Trump berkata, isu pelucutan senjata nuklear merupakan perkara sukar untuk dipersetujui, memandangkan setiap negara perlu membuat keputusan berkaitan penghapusan senjata nuklear masing-masing.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula menyifatkan komitmen ketiga-tiga pemimpin terhadap usaha pelucutan senjata nuklear secara bermakna sebagai satu pencapaian besar kepada dunia.
Beliau berkata, keselamatan sejagat hanya dapat dicapai sepenuhnya apabila dunia bebas daripada senjata nuklear.
Trump turut menjangkakan konflik Iran menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tiga hala itu.
Beliau mendakwa keadaan di Iran kini berada dalam keadaan terkawal susulan tindakan ketenteraan AS, namun isu berkenaan tetap akan dibangkitkan.
China yang merupakan antara rakan dagang ekonomi utama Iran sekian lama berusaha menjadi orang tengah dalam konflik yang tercetus susulan serangan AS dan Israel ke atas Tehran.
Krisis yang berlarutan selama beberapa bulan itu menjejaskan sektor perkapalan global serta menyebabkan harga minyak meningkat di pasaran dunia.
Pada akhir Oktober lalu, Trump mendakwa AS telah melumpuhkan sebahagian besar keupayaan ketenteraan Iran, namun masih terdapat satu atau dua sasaran yang perlu ditangani.
Sementara itu, China menyifatkan usaha mengelakkan konflik daripada kembali tercetus sebagai keutamaan utama.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Beijing turut menjadi tuan rumah kepada pemimpin dan diplomat dari beberapa negara Asia Barat dalam usaha menggalakkan pihak yang terlibat kembali ke meja rundingan.
Bagaimanapun, isu antara Rusia dan Ukraine dijangka menjadi antara perkara sensitif dalam perbincangan minggu ini.
Laporan The Wall Street Journal bulan lalu menyebut Putin mahu pertemuan tiga hala itu dimanfaatkan bagi merundingkan perjanjian damai di Ukraine yang memihak kepada Moscow.
Namun, Xi dijangka tidak akan menyentuh isu sensitif berkenaan secara terbuka.
Pegawai AS sebelum ini memaklumkan bahawa Trump tidak dijangka membangkitkan isu Ukraine, namun beliau pada Isnin mengesahkan perkara berkenaan akan turut dibincangkan.
Trump menyifatkan Ukraine sebagai antara isu yang menjadi tumpuan, selain merujuk kepada jumlah korban yang dialami kedua-dua pihak dalam konflik berkenaan.
Sementara itu, Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier berkata, Xi menunjukkan rasa kurang senang ketika isu Ukraine dibangkitkan dalam pertemuan baru-baru ini, khususnya berhubung kemungkinan konflik itu dibincangkan dalam sidang kemuncak tiga hala berkenaan.
Menurut Steinmeier, Xi menegaskan bahawa konflik itu merupakan isu Eropah dan negara-negara Eropah juga perlu dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenainya.
Perkembangan itu bagaimanapun belum meredakan kebimbangan Ukraine yang bimbang Kiev diketepikan dalam rundingan berkenaan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebelum ini memberi amaran bahawa pertemuan itu berpotensi membawa kepada pembahagian semula lingkungan pengaruh kuasa besar pada abad ke-21, seperti yang berlaku dalam Persidangan Yalta pada 1945.
Persidangan berkenaan menyaksikan Presiden AS ketika itu, Franklin D. Roosevelt, Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin membincangkan pembahagian sempadan wilayah selepas Perang Dunia Kedua tanpa mengambil kira kepentingan negara lain.
Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiha pula berkata, pertemuan antara pemimpin AS, China dan Rusia hanya akan menggalakkan Putin meneruskan perang berkenaan.- AFP