
PUTRAJAYA, 16 November – Penetapan 43 jenis sukan bagi temasya Sukan SEA 2027 di Malaysia dibuat menerusi proses rundingan dan undian majoriti mudah dalam kalangan wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang layak daripada negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
- Menteri menafikan keputusan dibuat secara sepihak; menegaskan proses melibatkan perbincangan dan perwakilan negara.
- Bantahan dari Menteri Indonesia Erick Thohir berhubung ketiadaan beberapa sukan dianggap menjejaskan prinsip keadilan.
- Proses pemilihan bermula dengan 38 sukan, tempoh rayuan hingga 8 Mei, dan jumlah sukan ditambah selepas mesyuarat kedua.
- Pemilihan mengambil kira sukan Olimpik, kekangan kewangan dan kemudahan, sementara Malaysia bersedia berbincang lanjut mengikut tatacara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan, dakwaan kononnya keputusan itu dibuat secara sepihak oleh Malaysia selaku tuan rumah adalah tidak benar, sebaliknya melibatkan penyertaan kesemua 11 negara anggota SEAGF.
Penjelasan itu menyusuli bantahan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir berhubung ketiadaan beberapa sukan pilihan negaranya, yang didakwa menjejaskan prinsip keadilan dan semangat kesukanan serantau.
“Saya menyangkal perkara itu seolah-olah ini adalah satu usaha sebelah pihak sahaja.
“Ingin saya tegaskan bahawa perbincangan ini telah pun diadakan beberapa siri. Pada SEA Games Federation pada bulan April telah pun dikumpulkan kesemua 11 negara yang diwakili oleh NOC masing-masing,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi dialog bersama peserta Program MADANI Fellowship di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq berkata, proses pemilihan bermula dengan 38 jenis sukan pada mesyuarat pertama SEAGF, April lalu, sebelum tempoh rayuan dibuka sehingga 8 Mei.
Jumlah itu meningkat kepada 43 selepas cadangan tambahan negara anggota dipertimbangkan dan diputuskan pada mesyuarat kedua SEAGF, Julai lalu.
Daripada keseluruhan sukan yang disenaraikan, 21 merupakan sukan Olimpik, sekali gus melebihi syarat minimum 10 sukan mengikut piagam SEAGF.
Selain itu, proses rayuan turut membolehkan beberapa cadangan negara anggota mendapat persetujuan, termasuk permohonan yang dikemukakan Indonesia.
“Saya juga ingin beritahu bahawa ada sukan-sukan yang dinominasi ataupun memang kehebatan Indonesia, sebagai contoh telah pun membuat rayuan kepada Malaysia, contohnya sukan hoki ais.
“Acara tersebut telah pun diterima oleh SEA Games Federation dan itu merupakan sukan Olimpik dan dirayu sendiri oleh Indonesia,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq menjelaskan, kekangan kewangan serta kemudahan pertandingan turut menjadi pertimbangan dalam menentukan senarai sukan.
Bagaimanapun, senarai 43 sukan itu kekal buat masa ini, meskipun Malaysia terbuka kepada perbincangan lanjut mengikut tatacara yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Sukan SEA seharusnya menjadi medan memperkukuh perpaduan negara ASEAN, selaras dengan tema temasya 2027, Meraikan Perpaduan.