
SIBU, 16 November – Kontrak bagi dua projek pembangunan di Sarawak berdepan kemungkinan ditamatkan selepas kedua-duanya, yang dikendalikan kontraktor sama, mengalami kelewatan antara dua hingga empat bulan.
- Projek melibatkan kuarters RTM Sri Aman (lebih RM9.98 juta) dan bangunan tambahan JaPen Sarawak (lebih RM19.77 juta).
- JKR Sarawak akan memanggil kontraktor untuk menilai kemajuan sebelum mengemukakan syor sama ada projek wajar diteruskan.
- Projek 16 unit kuarters RTM Sibu (RM8.86 juta) menunjukkan kemajuan memuaskan; tarikh siap 17 September 2027 selepas lanjutan 45 hari.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek terbabit melibatkan pembinaan kuarters kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Sri Aman bernilai lebih RM9.98 juta serta bangunan tambahan Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak bernilai lebih RM19.77 juta.
Jelasnya, projek kuarters RTM yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh 18 bulan kini lewat dua bulan, manakala pembinaan bangunan tambahan JaPen pula tertangguh empat bulan daripada tempoh kontrak 24 bulan.
Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memanggil kontraktor berkenaan bagi menilai kemajuan kerja sebelum mengemukakan syor sama ada kedua-dua projek wajar diteruskan atau tindakan lain perlu diambil.
“Kami akan menunggu nasihat daripada JKR Sarawak, apa pendapat profesional mereka dan kemudian kami akan memutuskannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke RTM Sibu, di sini.
Kedua-dua projek berkenaan akan terus dipantau rapi dengan kerjasama JKR Sarawak sementara menunggu keputusan mengenai tindakan susulan terhadap kontraktor.
Sementara itu, projek pembinaan 16 unit kuarters kakitangan RTM Sibu bernilai RM8.86 juta menunjukkan kemajuan memuaskan, dengan kerja pembinaan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual baharu.
Tarikh siap projek ditetapkan pada 17 September 2027 selepas kontraktor diberikan lanjutan masa selama 45 hari berikutan keadaan tanah di tapak pembinaan.
Selain unit kediaman, projek itu turut merangkumi penyediaan 22 petak parkir dan sebuah taman permainan.
Bagi projek lain, pembinaan bangunan RTM di Bintulu berjalan mengikut jadual, manakala projek di Limbang mencatatkan kelewatan sembilan hari dan masih berada pada peringkat awal pelaksanaan.