
MANILA, 16 November -Kerajaan kekal stabil dan memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan dasar serta tanggungjawab terhadap rakyat.
- Tiada keperluan mendesak untuk rombakan kabinet walaupun peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
- Anwar menghormati keputusan Loke atas prinsip tetapi belum menerima peletakan jawatan itu.
- Beliau bekerjasama dengan menteri pelbagai parti untuk mencapai pendirian bersama, termasuk isu dua hala, pelbagai hala dan ASEAN.
Demikian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas mengenai spekulasi rombakan kabinet.
Jelas beliau tiada keperluan mendesak untuk merombak barisan Jemaah Menteri ketika ini, walaupun timbul pelbagai pandangan susulan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
“Ketika ini, kerajaan berada dalam keadaan stabil dengan dasar dibincangkan secara menyeluruh di peringkat Kabinet. Saya juga bekerjasama dengan menteri daripada pelbagai parti melalui perkongsian pandangan dan perbincangan bagi mencapai pendirian bersama, termasuk dalam isu dua hala, pelbagai hala dan ASEAN yang sensitif.” katanya kepada pemberita, di sini.
Datuk Seri Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 Nov di bawah kepengerusian Filipina, yang bertemakan Navigating Our Future, Together.
Menyentuh mengenai peletakan jawatan Loke, beliau menghormati pendirian pemimpin DAP itu yang dibuat atas dasar prinsip, meskipun sebelum ini telah
memintanya mempertimbangkan semula keputusanberkenaan.
“Beliau (Loke) atas dasar prinsip ini meminta supaya saya terima peletakan jawatan, yang belum saya lakukan. Tapi saya hormat pendirian dia kerana pentingnya itu atas dasar prinsip yang dia pertahankan.
“Dalam sistem kerajaan campuran di beberapa negara, ini bukan satu keanehan. Bila ada coalition, kadang-kadang pada peringkat Persekutuan berbeza dengan peringkat negeri,” kata beliau.