Malaysia sambut baik komitmen Indonesia tangani jerebu rentas sempadan

Foto AFP

MANILA, 16 November – Malaysia menyambut baik komitmen Indonesia dalam menangani isu jerebu rentas sempadan, khususnya usaha mengurangkan kesan kebakaran hutan yang turut menjejaskan negara jiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Indonesia, Prabowo memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura susulan jerebu akibat kebakaran hutan.
  • Kerajaan Indonesia membatalkan 17 konsesi, menyiasat 26 syarikat dan mendakwa 11 berkaitan kebakaran hutan.
  • Datuk Seri Anwar menyatakan tindakan Indonesia mencerminkan kesungguhan mencari penyelesaian isu jerebu rentas sempadan.
  • Indonesia merancang menubuhkan agensi baharu untuk menangani kebakaran hutan secara lebih sistematik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yang diambil Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mencerminkan kesungguhan negara itu untuk mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia bersedia memberikan kerjasama dalam usaha tersebut, meskipun mengakui cabaran menangani jerebu rentas sempadan bukan sesuatu yang mudah.

“Kita gembira kerana komitmen Indonesia dan kerjasama dengan negara ASEAN supaya dapat, kalau tidak menghalang sama sekali, tetapi mengurangkan tekanan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, di sini.

Terdahulu, Prabowo memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura susulan jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia yang mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Indonesia telah membatalkan 17 konsesi syarikat, manakala 26 syarikat sedang disiasat dan 11 lagi telah didakwa berhubung kebakaran berkenaan.

Dalam usaha memperkukuh langkah pencegahan, Indonesia turut merancang penubuhan sebuah agensi baharu bagi menangani kebakaran hutan secara lebih sistematik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.