
DOHA, 16 November – Malaysia berjaya mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027 hingga 2030 selepas meraih 145 undi pada pemilihan sempena Persidangan Plenipotensiari ITU 2026 (PP-26) di Doha, Qatar, hari ini.
- Terus terlibat dalam pembentukan dasar dan hala tuju telekomunikasi global untuk pembangunan infrastruktur digital, piawaian teknologi dan kesalinghubungan antarabangsa.
- Fokus kepada kesalingoperasian dan pembinaan kepercayaan dalam ekosistem digital sebagai keutamaan penggal baharu.
- Kongsi pengalaman JENDELA dan NADI serta kukuhkan kerjasama antarabangsa untuk merapatkan jurang digital dan mewujudkan persekitaran digital lebih selamat.
Kejayaan itu membolehkan Malaysia terus terlibat dalam pembentukan dasar dan hala tuju telekomunikasi global, termasuk pembangunan infrastruktur digital, piawaian teknologi serta kesalinghubungan antarabangsa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, keputusan berkenaan mencerminkan keyakinan negara anggota terhadap keupayaan Malaysia menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan sektor telekomunikasi.
“Yang penting, kita mempunyai suara di peringkat antarabangsa dan dapat berkongsi pengalaman dengan negara lain supaya kita boleh belajar bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan, di sini.
Mengulas hala tuju penggal baharu, Mano berkata, Malaysia akan memberi tumpuan kepada dua keutamaan, iaitu kesalingoperasian dan pembinaan kepercayaan dalam ekosistem digital.
Dalam usaha itu, pengalaman negara melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan turut dikongsi sebagai rujukan kepada anggota ITU yang lain.
Pendekatan berkenaan selaras penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil terhadap pengukuhan kerjasama antarabangsa bagi membangunkan persekitaran digital yang lebih selamat, dipercayai dan saling berhubung.
Dalam pada itu, Mano merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Doha serta syarikat telekomunikasi tempatan atas sokongan menjayakan pencalonan negara.
Malaysia yang menyertai ITU sejak 1958 akan meneruskan peranannya dalam badan berkenaan bagi memperkukuh kerjasama telekomunikasi dan usaha merapatkan jurang digital di peringkat global.