Malaysia mahu APEC perkukuh sistem perdagangan terbuka, berasaskan peraturan

Datuk Norman Muhamad / Foto RTM

SHENZHEN, 16 November – Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 di Shenzhen, China, menjadi antara usaha penting negara untuk memperkukuh kedudukannya dalam landskap ekonomi serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menuntut sistem perdagangan multilateral terbuka, telus dan berasaskan peraturan; WTO kekal teras utama
  • APEC memberi tumpuan kepada keterbukaan, inovasi dan kerjasama bagi merancakkan pertumbuhan serantau
  • Perdana Menteri memperjuangkan kepentingan ekonomi negara melalui ucapan dan pertemuan dua hala, merangka kerjasama perdagangan serta pelaburan
  • Memeterai MoU keselamatan, pengurusan bencana, teknologi pemantauan, pembinaan bakat dan penyelidikan teknologi tinggi untuk memperkukuh kerjasama

Dalam persidangan ini, Malaysia terus membawa komitmen tegas agar platform APEC memelihara sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus dan berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kekal sebagai teras utama.

Sidang kemuncak yang menghimpunkan 21 ekonomi anggota dari rantau Asia-Pasifik itu berlangsung ketika ekonomi global berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan perdagangan antarabangsa, peralihan teknologi yang pantas serta persaingan sengit dalam menarik pelaburan asing.

Bertemakan “Membina Komuniti Asia-Pasifik Demi Kemakmuran Bersama”, APEC 2026 memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan utama, iaitu keterbukaan, inovasi dan kerjasama bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau.

Bagi Malaysia, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sekadar memenuhi tuntutan diplomatik, malah merupakan langkah strategik untuk memperjuangkan kepentingan ekonomi negara di pentas antarabangsa.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, berkata kerangka kerjasama antarabangsa yang lebih stabil amat diperlukan pada masa ini memandangkan situasi geopolitik dan ekonomi dunia yang mudah berubah secara mendadak.

“Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Luar China, Wang Yi, keadaan dunia kini berada dalam situasi yang tidak menentu apabila kedaulatan undang-undang dan peraturan antarabangsa dilihat semakin terhakis.

“Justeru, menerusi platform APEC ini, kita berharap dapat mengembalikan keyakinan terhadap sistem yang menyaksikan pengukuhan semula institusi kewangan serta institusi perdagangan antarabangsa,” katanya kepada media di sini.

Datuk Seri Anwar dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an pada 18 November, kira-kira pukul 12.30 tengah malam waktu tempatan.

Pada hari pertama lawatan, beliau akan menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC yang bakal dirasmikan menerusi ucaptama Presiden China, Xi Jinping.

Perdana Menteri turut dijadualkan menyampaikan ucapan bertajuk “Memikirkan Semula Keterbukaan: Membina Kemakmuran Bersama di Asia-Pasifik” pada sesi berkenaan.

Pada sebelah malam pula, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala dan Persembahan Kebudayaan yang dihoskan oleh Xi dan isterinya, Peng Liyuan, di Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen.

Kemuncak lawatan kerja itu adalah pada 19 November apabila Datuk Seri Anwar dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33.

Di sela-sela persidangan itu, beliau bakal mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat daripada ekonomi anggota APEC bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.

Selain itu, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi pada 20 November bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar”.

Perbincangan turut merangkumi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pelancongan serta kerjasama pelabuhan.

Perdana Menteri juga akan berinteraksi dengan peneraju industri utama menerusi Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

Hubungan perdagangan yang kukuh antara kedua-dua negara membuka potensi kerjasama yang lebih luas dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan, kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh baharu serta ekonomi digital.

Dalam pada itu, memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama keselamatan turut menjadi agenda penting yang dijangka dimeterai sempena lawatan berkenaan, selain potensi peluasan kerjasama dalam pengurusan bencana, teknologi pemantauan, pembangunan bakat dan penyelidikan teknologi tinggi.

China menjadi tuan rumah APEC buat kali ketiga selepas penganjuran di Shanghai pada 2001 dan Beijing pada 2014.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.